‘Tentu Tajuddin tahu apa yang dia lakukan’ – Zahid

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran keputusan menggugurkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dibuat kerana melanggar keputusan parti.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak mendedahkan kesalahan yang telah dilakukan Tajuddin, sebaliknya meminta supaya bertanya kepada Ahli Parlimen Pasir Salak itu.

“Saya fikit tanya lah dia sendiri itu yang sebaiknya, tidak adil jika saya beritahu umum…tentunya beliau mengetahui apa yang beliau lakukan.

“Apa kenyataan yang telah beliau buat, apakah bahan-bahan ucapan beliau atau ceramah-ceramah atau bahan-bahan yang beliau nyatakan dalam mesyuarat tertutup, ianya beliau sendiri,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ahmad Zahid sebelum itu merasmikan Karnival Kerjaya BN Youth Job Fair Aspirasi anjuran Pemuda BN.

Terdahulu media melaporkan Tajuddin dipecat daripada jawatan MKT Umno selepas surat yang ditandatangi Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan tular.

Surat yang bertarikh 21 Jun itu turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tajuddin atas khidmat baktinya selama ini.

Selain turut merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika dihubungi Malaysiapost tidak mengesahkan mengenai perkara itu termasuk surat yang tular dikaitkan dengan pemecatan Tajuddin.

Sebaliknya dalam satu mesej melalui aplikasi WhatsApp, Ahmad hanya memaklumkan mesyuarat MKT Umno akan berlangsung malam ini di ibu negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here