Kluster ILI dikesan, asrama sekolah menengah di Petaling diarah tutup

0
2

ASRAMA sebuah sekolah menengah di daerah Petaling diarahkan tutup sementara bermula semalam susulan penularan ‘Influenza-Like-Ilnes’ (ILI) di sekolah berkenaan.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, berkata terdapat satu kluster ILI membabitkan sekolah menengah berasrama berkenaan dan sehingga semalam jumlah keseluruhan kes adalah sebanyak 191 pelajar dengan kadar jangkitan 32.5 peratus.

Menurutnya, kluster berkenaan dikesan di sekolah terbabit pada 21 Jun lalu apabila Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling menerima notifikasi 110 pelajar bergejala demam, batuk, selsema dan sakit tekak.

Beliau berkata, kes pertama telah dikenalpasti bergejala sejak 14 Jun lalu.

 “Setakat semalam, jumlah keseluruhan kes yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan atas seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak adalah seramai 191 pelajar.

“Daripada jumlah itu, lima pelajar disahkan positif Influenza A, manakala sebanyak 13 sampel lagi masih menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, terdapat satu kes berada di hospital untuk pemantauan serta berada dalam keadaan stabil dan ujian Covid-19 yang dijalankan ke atas 30 pelajar bergejala mendapati semuanya negatif.

“Hasil dari penilaian risiko yang dijalankan PKD Petaling serta perbincangan dengan pengurusan sekolah, penutupan sementara asrama telah dijalankan bagi tujuan disinfeksi dan mengawal penularan jangkitan.

“Asrama terbabit akan dibuka semula selepas penilaian risiko ulangan dijalankan oleh PKD Petaling,” katanya.

Dr Sha’ari berkata, selain itu beberapa langkah kawalan dan pencegahan turut diambil oleh PKD Petaling antaranya memantau kes yang menjalani pengasingan dan menjalankan aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan pencegahan penularan kluster ILI.

“Pemantauan dijalankan JKN Selangor terhadap jangkitan ILI di Selangor mendapati situasi masih dalam keadaan terkawal, namun penularan jangkitan di institusi pendidikan terutamanya di sekolah berasrama menunjukkan sedikit peningkatan dalam tempoh dua minggu lalu.

“Antara faktor peningkatan dikenalpasti adalah kurangnya penekanan aktiviti ‘gate keeping’ di sekolah, pertambahan aktiviti berkumpulan, sentuhan fizikal antara pelajar dan kurangnya amalan kebersihan kendiri,” katanya.

Pada Isnin lalu, Dr Sha’ari dalam satu kenyataan turut memaklumkan mengesan satu kluster ILI membabitkan sebuah sekolah berasrama penuh di Gombak, membabitkan 226 pelajar yang bergejala demam, batuk, selesema dan sakit tekak.

Daripada jumlah itu, enam pelajar disahkan positif Influenza A dengan kadar jangkitan 32.7 peratus, dan seorang pelajar dimasukkan ke pusat perubatan swasta untuk pemantauan, namun berada dalam keadaan stabil. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here