Oh salah Johor rupanya, Najib sindir Tun M

0
1

DATUK Seri Najib Razak menyindir Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu kehilangan Pulau Batu Puteh yang menurut Ahli Parlimen Langkawi itu disebabkan kesilapan kerajaan Johor.

Najib turut menyindir Dr Mahathir yang dakwanya tidak mahu bertanggungjawab sedangkan beliau yang membuat keputusan menarik balik tuntutan pulau tersebut ketika menjadi Perdana Menteri ketujuh.

“Oh. Salah Johor rupanya. Bukan salah Perdana Menteri (Dr Mahathir) yang tarik balik tuntutan seminggu sebelum perbicaraan bermula di mahkamah antarabangsa.

“Bukan masalah besar bila hilang kedaulatan ke atas tanah dan perairan negara rupanya,” tulisnya menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.

Semalam Dr Mahathir menyifatkan laporan media kononnya beliau mendesak supaya Malaysia menuntut semula Singapura dan Kepulauan Riau sebagai tidak tepat.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, beliau tidak pernah meminta supaya Malaysia menuntut semula kedua-dua wilayah tersebut.

Sebaliknya menurut Dr Mahathir, beliau hanya mahu menunjukkan bahawa rakyat negara ini begitu bimbangkan Pulau Batu Puteh yang kecil berbanding wilayah lain yang telah diambil dari Malaysia.

“Saya cuba menunjukkan bahawa kita begitu bimbang kehilangan batu sebesar meja tetapi tidak pernah mengenai bahagian yang lebih besar di Malaysia apabila ia diambil daripada kita.

“Kehilangan Pulau Batu Puteh bukan masalah besar. Adalah kesilapan Kerajaan Johor menafikan bahawa pulau itu adalah milik Johor. Sekiranya penafian itu tidak dibuat, tidak akan ada pertikaian sekarang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here