Dana UKSB: Saya tidak tahu apa-apa – Hishammuddin

0
2

MENTERI Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein tampil menafikan pernah menerima dana politik daripada Ultra Kirana Sdn Bhd. 

Beliau menjelaskan, tidak mengetahui isu berkaitan dana tersebut dan sedia membantu siasatan pihak berkuasa berhubung perkara itu.

“Saya tidak mengetahui apa-apa pun berkaitan perkara yang disebut di mahkamah baru-baru ini.

“Sekiranya mereka (pihak berkuasa) ingin memanggil saya bagi melakukan siasatan, seperti kebiasaan sebelum ini, saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak berkuasa,” katanya di laman Twitter miliknya, hari ini. 

Pada 13 Jun lalu, seorang bekas pengurus UKSB memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam perbicaraan kes rasuah Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bahawa syarikatnya memberi wang dengan mengaitkan beberapa pemimpin utama negara termasuk Hishammuddin.

Ahli politik lain yang turut dinamakan saksi dalam perbicaraan itu termasuk bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri luar, Datuk Seri Anifah Aman, Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa agensi berkenaan akan membuka kertas siasatan terhadap penama yang dikatakan menerima wang daripada UKSB seperti disebut saksi perbicaraan kes berkenaan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here