Penjenayah ditembak mati dalam serbuan di sebuah kondominium

0
2

SEORANG anggota kumpulan jenayah samun ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di sebuah kondominium di Taman Salak Selatan, kelmarin.

Lelaki berusia 40 tahun itu ditembak dalam serbuan polis pada jam 10 malam kelmarin yang dijalankan susulan laporan berhubung kes samun bersenjata membabitkan tiga suspek di sebuah kediaman sekitar Bandar Tasik Sri Permaisuri, Cheras pada November tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata pada 11 November tahun lalu, polis menerima laporan daripada seorang lelaki mendakwa telah disamun oleh tiga suspek lelaki bersenjata pisau yang telah masuk ke rumah mangsa sebelum melarikan wang tunai, barang kemas dan tiga utas jam tangan menyebabkan kerugian berjumlah RM693,000.

“Bertindak atas maklumat kes-kes samun dan senjata api, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur menyerbu rumah kondominium di kawasan Taman Salak Selatan pada jam 10 malam kelmarin.

“Semasa serbuan dijalankan, suspek telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis dan bagi melindungi keselamatan dan nyawa pegawai dan anggota, pasukan polis telah melepaskan tembakan balas ke arah suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, selepas keadaan reda, pemeriksaan lanjut mendapati seorang suspek yang juga warga tempatan terbaring dalam bilik utama rumah berkenaan dan pegawai perubatan dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz mengesahkan suspek telah meninggal dunia.

“Pemeriksaan lanjut menemui sepucuk pistol semi automatik jenis CZ 75 Compact berwarna hitam yang mengandungi lima butir peluru hidup dalam kelopak dan sebutir lagi di dalam ‘chamber’.

“Sebutir bom tangan turut dijumpai dalam beg silang suspek dan semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan tiga rekod dikehendaki membabitkan senjata api, ugutan jenayah dan dadah,” katanya.

Menurutnya, selain daripada rekod jenayah lampau suspek juga pernah ditangkap untuk siasatan atau pembabitan dalam 26 kes pelbagai jenis jenayah sejak tahun 2004 hingga 2022.

Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 7 Akta Bahan Letupan.

“Susulan daripada operasi ini, Bahagian Siasatan Khas (D9), JSJ Kuala Lumpur telah melancarkan ‘Op Tiger’ bagi mengesan dan menangkap saki baki rakan sejenayah suspek di sekitar Lembah Klang.

“Seramai lapan suspek warga tempatan membabitkan tujuh lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 28 hingga 67 tahun berjaya ditahan.

“Hasil daripada tindakan ini,polis berjaya merampas sepucuk lagi pistol jenis CZ Compact serta dua kelopak berisi 28 butir peluru di sebuah gudang sekitar Klang Utara awal pagi tadi,” katanya.

Menurutnya, menerusi tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan 15 kes samun yang dilaporkan sejak tahun 2009. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here