PAS sedia lawan jika Umno ‘degil’ bergerak solo, tamatkan kerjasama

0
2

PAS sedia berlawan dengan Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya parti itu terus berkeras untuk memutuskan kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN), kata Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Naib Presiden PAS itu berkata, mahu atau tidak PAS sudah biasa dan bersedia untuk berdepan Umno jika parti itu bertegas mahu bergerak solo pada PRU15 akan datang.

Jelasnya lagi, PAS juga sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan terkini politik semasa sama ada bekerjasama dengan MN dan Perikatan Nasional (PN) termasuk bergerak sendiri.

“Bagaimanapun PAS, masih lagi berusaha dan berharap kerjasama dengan Umno menerusi MN dapat terus dipertahankan sehingga ke PRU15,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Malam Apresiasi Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKNIK) dan Pidato Ekonomi Sunnah ‘Penggerak Pembangunan Ummah’, malam tadi.

Majlis tersebut dirasmikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan hadir sama Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu memberitahu, gesaan Umno supaya meninggalkan Bersatu jika mahu meneruskan MN sukar untuk diterima oleh PAS.

Katanya, PAS berpegang kepada prinsip penyatuan ummah yang melibatkan semua parti-parti utama untuk kepentingan negara.

Terdahulu, media melaporkan, PAS tidak pernah berputus asa untuk mempertahan dan menyelamatkan MN yang kini seolah-olah ‘retak menanti belah’.

Bagaimanapun, sekiranya Umno masih berkeras untuk bergerak solo PRU15, parti itu dan PN tidak ada pilihan selain terpaksa bertembung sesama sendiri.

Selain itu, Mohd Amar dalam kenyataan semalam juga menegaskan PAS menolak cadangan untuk bergabung dalam ‘khemah besar’, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada agenda penyatuan ummah bagi menghadapi PRU15. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here