Lima ‘watchdog’ pantau ketelusan SPRM

0
3

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipantau lima panel bebas yang bertindak sebagai ‘watchdog’ bagi memastikan agensi itu telus tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki, berkata panel pertama adalah panel penasihat yang bertanggungjawab menasihati dari segi dasar dan perjalanan SPRM.

Katanya, manakala panel kedua ialah panel penilaian operasi yang memantau kes-kes SPRM termasuk memberi pandangan untuk sesuatu kes sebelum ditutup atau diteliti semula sekiranya mereka tidak berpuas hati.

“Panel ketiga pula adalah panel pencegahan dan pemeriksaan yang menasihati mengenai aktiviti pencegahan dan aktiviti pendidikan masyarakat SPRM, manakala panel keempat adalah jawatankuasa aduan yang memantau salah laku yang dilaporkan terhadap pegawai SPRM.

“Boleh dikatakan kami (SPRM) terbuka kepada sebarang aduan yang membabitkan salah laku pegawai kami.

“Panel terakhir ialah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang melihat pencapaian SPRM sepanjang tahun dan membentangkan serta memberi nasihat kepada Perdana Menteri mengenai prestasi SPRM pada tahun yang berkenaan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Azam berkata dengan wujudnya panel bebas yang bukan daripada pegawai kerajaan itu juga, boleh dikategorikan sebagai wakil kepada rakyat bagi memantau SPRM dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, masyarakat mahukan SPRM bertindak dengan cekap, profesional dan adil dalam mengendalikan kes-kes membabitkan rasuah dan salah guna kuasa.

“Saya tidak ingin mengatakan bahawa kami ini sempurna dalam menjalankan tugas kerana dalam isu-isu yang masyarakat timbulkan, SPRM sehabis baik akan cuba tanganinya. Contohnya, isu rasuah akibat pencemaran sungai dan dakwaan pencerobohan tanah haram,” katanya. -Malaysiapost