BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan penafian Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa dirinya tidak menerima rasuah sebanyak RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pada 2018 seperti yang didakwa saksi di mahkamah semalam.
Najib berkata, Muhyiddin dalam kenyataan semalam menyatakan adalah mustahil beliau menerima rasuah ketika sedang menjalani rawatan kanser.
“Saya sedang rawat kanser. Tak mungkin terima sogokan. Ini kerana antara Jun hingga Ogos 2018, saya menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.
“Malahan pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya saya telah menerima sogokon wang tunai, saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara.
“Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas,” kata Najib memetik kenyataan Muhyiddin.
Susulan itu, Najib mempertikaikan kenyataan dari Muhyiddin tersebut.
“Benar? (Kerana) ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Ahmad Zaidi Zainal (kepada) bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47
“… menyatakan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menerima sumbangan wang tunai RM300,000 pada 4 Jun 2018; RM500,000 (4 Julai 2018) dan RM500,000 (23 Ogos 2018) berdasarkan buku lejar syarikat itu,” katanya.
Jelasnya, bagi keterangan Siong Sun di mahkamah semalam, RM1.3 juta itu dipindahkan kepada Muhyiddin secara tunai dalam tiga transaksi pada 4 Jun, 4 Julai dan 23 Ogos 2018.
Bagi bayaran pertama berjumlah RM300,000 pada 4 Jun 2018, Najib memetik laporan berita yang mengatakan Muhyiddin melawat Bukit Aman pada hari itu.
Bagi bayaran kedua berjumlah RM500,000 pada 4 Julai 2018, Najib memetik laporan bahawa Presiden Bersatu itu masih belum menjalani pembedahan.
Ahli Parlimen Pekan itu turut memetik laporan berita yang melaporkan Muhyiddin telah berjaya menjalani pembedahan pada 12 Julai 2018.
Selain itu, Najib juga memetik satu lagi berita yang melaporkan Muhyiddin keluar hospital pada 7 Ogos, dan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Pagoh pada 14 Ogos tahun yang sama.
Menurut Najib, Muhyiddin didakwa menerima RM500,000 lagi pada 23 Ogos 2018.
Butiran pembayaran itu didedahkan ketika Siong Sun memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan Sistem Visa Asing (VLN) semalam.
Siong Sun mengenal pasti Muhyiddin sebagai ‘TSM’ yang dicatatkan dalam lejar UKSB.
Menurut Sing Sun, projek VLN itu terletak di bawah bidang kuasa Muhyiddin selepas mengambil alih Kementerian Dalam Negeri daripada Ahmad Zahid. – Malaysiapost

