AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menzahirkan kebimbangan dengan cadangan bahawa banjir tahunan boleh dijadikan peluang pelancongan sukarelawan di Malaysia.
Beliau berkata, sepatutnya semua pihak perlu laksanakan alternatif yang lebih baik dengan mengambil langkah pragmatik untuk tangani banjir bukan menggalakkan lagi bencana itu.
Beliau berkata, dalam kejadian banjir tahun ini saja lebih 40 orang sudah terkorban dan negara mengalami kerugian RM6.5 billion akibat bencana berkenaan.
“Jadi takkan kita rela korbankan 40 orang dan rugi RM6.5 billion semata-mata kita ada peluang untuk promosikan pelancongan sukarelawan.
“Patutnya ada langkah pragmatik untuk tangani banjir bukan nak galakkan lagi banjir,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, sekiranya banjir melanda, ia tidak memberi manfaat kepada semua pelancong malah memberi kerugian kepada masyarakat, peniaga termasuk negara.
“Lagi enak kita dengar dari pelancong-pelancong kalau mereka menikmati melancong di Malaysia tanpa seberang bencana.
“Kalau dah bencana, kedai sana-sini tutup, jalan sana-sini tutup, akhirnya duduk sajalah dekat hotel tengok banjir dari tingkap bilik.
“Anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kebuluran.We must do better,” katanya.
Sehubungan itu Syed Saddiq berkata, MUDA yang diasaskannya itu telah menyerahkan enam tuntutan dalam Memorandum Darurat Banjir untuk tangani krisis banjir bagi jangka masa panjang, pada awal tahun ini.
“Tuntutan-tuntutan itu adalah tubuhkan Jawatan Kuasa Khas Parlimen Perubahan Iklim, Bencana dan Alam Sekitar; rombak NADMA dan kurangkan birokrasi semasa bencana serta memacukan Agenda Disaster Risk Reduction di peringkat kerajaan tempatan dengan segera.
“Selain itu, jadikan Jawatankuasa MKN lebih inklusif dengan semua pihak di peringkat nasional, negeri & daerah; bentangkan dan luluskan Akta Perubahan Iklim; termasuk segerakan Pelan Adaptasi Negara,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan bekas Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menyatakan bahawa banjir yang melanda negara setiap tahun berpotensi menjadi tarikan pelancongan.
Beliau berkata, negara harus mencari peluang ketika susah dan bukannya menangisi perkara yang jelas di luar kawalan kita.
Katanya, banjir adalah peluang untuk mempromosikan pelancongan sukarelawan dan perancangan awal boleh dilakukan agar ia menjadi kenyataan. – Malaysiapost

