‘Idealisme, prinsip perjuangan Bersatu adalah jati diri saya’ – Azmin Ali

0
2

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan bahawa idealisme dan prinsip perjuangan parti itu adalah jati dirinya.

Beliau berkata, Bersatu akan terus bergerak sederap bersama seluruh ahlinya untuk membangunkan sebuah kerajaan yang bersih, telus dan berintegriti. 

Katanya, Bersatu komited terhadap prinsip tadbir urus yang baik serta memperjuangkan keadilan sosial demi kemakmuran bersama seluruh rakyat, dan menyifatkannya sebagai wadah unggul untuk rakyat Malaysia.

“Justeru, saya amat menghargai dan berterima kasih di atas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di atas keyakinan dan kepercayaan beliau terhadap iltizam dan komitmen saya bersama parti sebagai wadah politik dan perjuangan demi rakyat.

“Dasar dan inisiatif yang diperkenalkan Muhyiddin khususnya pakej rangsangan ekonomi yang proaktif serta keputusan pantas yang tepat pada masanya mengenai pelaksanaan program vaksinasi besar-besaran,

“… telah meletakkan Malaysia di atas landasan yang kukuh dan berdaya tahan bagi menjamin kejayaan pemulihan ekonomi dan usaha menangani krisis kesihatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, citra Bersatu yang dinamik, progresif dan inklusif amat bertepatan dengan aspirasi zaman demi membangun Malaysia yang bersatu padu dan berupaya mendepani cabaran semasa. 

Katanya, idealisme perjuangan Bersatu yang meliputi norma kehidupan serta dasar prihatin yang mengangkat martabat rakyat telah berjaya menjana kemakmuran demi kesejahteraan rakyat.

“Walhasil, Malaysia telah diiktiraf sebagai berjaya mengurus pandemik dengan efektif dan bertanggungjawab. 

“Kebijakan yang mesra perniagaan telah berjaya mencipta pekerjaan dan kemakmuran untuk rakyat sekaligus merancakkan aktiviti perniagaan dan pelaburan pasca pandemik,” katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu juga berkata, Bersatu adalah sebuah parti yang berakar dari identiti Melayu dan Bumiputera demi memelihara hak dan kedaulatan bangsa Melayu dan agama Islam. 

“Namun, sebagai wadah politik yang berpandangan jauh ke hadapan, Bersatu juga mahu mendakap realiti Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama. 

“Bersatu telah berani melakukan anjakan paradigma dengan meminda Perlembagaan Parti untuk meraikan kepelbagaian kaum dan budaya yang akan menyuburkan amalan demokrasi di Malaysia

“Saya ingin menegaskan bahawa idealisme dan prinsip perjuangan Bersatu adalah jati diri saya,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin menafikan Mohamed Azmin akan meninggalkan parti itu bagi mengikuti jejak Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin.

Muhyiddin berkata, desas-desus mengenai perkara itu adalah tidak berasas, malah menegaskan hubungannya dengan Mohamed Azmin sangat baik dan sering berbincang mengenai masa depan parti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here