7 pelajar Kolej Yayasan Saad Melaka raih keputusan 10A+ SPM 2021

0
3

SERAMAI tujuh daripada 125 pelajar Kolej Yayasan Saad Melaka (KYSM) yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 memperoleh keputusan 10A+ dan dua lagi pelajar mendapat keputusan 9A+, hari ini.

Pengetuanya Tan Cheh Li berkata, pencapaian itu amat membanggakan berbanding SPM 2020 dengan hanya lima pelajar kolej terbabit memperoleh keputusan cemerlang A+.

Beliau berkata, selain itu 81 pelajar daripada keseluruhan calon SPM 2021 di KYS memperoleh keputusan semua A bagi setiap subjek yang diduduki.

Menurutnya, Gred Purata Sekolah dicapai bagi SPM tahun ini adalah 0.88 berbanding 1.14 bagi peperiksaan sama untuk tahun 2020.

Beliau berkata penularan wabak Covid-19 memaksa 50 peratus proses pembelajaran dijalankan secara dalam talian, namun ia tidak menghalang untuk meraih kecemerlangan hasil usaha guru dan kemahuan dalam diri pelajar itu sendiri.

“Kami tidak ada keistimewaan sama sahaja seperti sekolah lain, cuma kami ada strategi untuk mencapai apa yang diidamkan dan saya percaya semua ini disebabkan budaya diamalkan serta kualiti pelajar yang ada.

“Budaya kami adalah beri keyakinan kepada pelajar bahawa mereka berkemampuan mencapai kejayaan diimpikan, kemudian disusuli kepimpinan dalam kelas yang dimainkan oleh para guru,” katanya.

Cheh Li berkata, pihak pengurusan KYS amat mementingkan kualiti dan kerjasama berpasukan bagi memastikan kolej itu terus melahirkan pelajar cemerlang.

“Jika kita ada kuantiti sekali pun, kualiti itu masih perlu dijaga, berikutan itu kerja berpasukan yang efektif dan efisyen amat penting bagi kami yang diberikan kepercayaan untuk mendidik anak bangsa.

“Akhir kata saya mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama dan sokongan semua pihak seperti ibu bapa, penjaga, pengasas, lembaga pengelola kolej, guru dan kakitangan atas kejayaan dicapai hari ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here