PELAJAR Ain Husniza Saiful Nizam yang pernah membuat pendedahan mengenai guru pendidikan jasmani didakwa bergurau berunsurkan rogol, berjaya mendapat keputusan cemerlang Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2021 dengan memperoleh 7A 1B.
Perkara itu dikongsi oleh remaja terbabit di laman Twitternya yang menyatakan rasa terkejut dengan keputusan yang diterimanya walaupun sebelum ini terpaksa berdepan pelbagai cabaran termasuk cemuhan.
Menurutnya, walaupun sering dicemuh dan didoakan gagal dalam peperiksaan SPM 2021 oleh ramai pihak susulan pendedahan yang dilakukan sebelum ini, keputusan yang diperoleh hari ini membuktikan dia mampu berjaya dalam pelajaran.
“Saya dapat 7A 1B dan sangat gembira serta berterima kasih kepada semua yang membantu. Saya menggeletar dan sukar untuk percaya kenyataan ini,” katanya.
Ain Husniza, berkata dia tidak dapat menggambarkan betapa tertekannya ketika mengharungi SPM.
“Bukan sahaja orang memberitahu saya tiada ‘berkat’ dalam pelajaran saya, malah sentiasa mendoakan saya gagal dalam pelajaran.
“Saya diejek…mereka jatuhkan saya seboleh mungkin dan didoakan perkara yang tidak elok.
“Naik turun balai polis, menangis, tertekan semasa belajar, tertekan dikecam. Bila saya baca bermacam mesej daripada orang ramai, saya berjanji akan buktikan mereka salah,” katanya.
Remaja terbabit turut berkongsi mesej kecaman yang diterimanya.
“Dah dah la tu, nak fail SPM ke?’ ‘Kau ni belajar takde berkat dari cikgu’ ‘Semua ilmu cikgu bagi kau tu dah ilmu haram, takde berkat’.
“Mereka kata saya kelihatan seperti menghisap dadah, kelihatan ‘st*m’. Ia menjijikkan. Ia melemahkan semangat. Dan apabila saya menerima surat amaran buang sekolah dahulu, saya terfikir bagaimana dengan SPM saya?”
Menurutnya, dia percaya keputusan yang diraih hari ini merupakan berkat semua guru dan kawan-kawannya sepanjang persekolahan.
“Ain tak pandai, ain tak pernah dapat result macamni. Ain juga percaya, ni semua berkat ‘from all the teachers I met that taught me and friends I made along the way’
“Namun akhirnya ini adalah untuk diri saya. Bagi semua pelajar, tidak kira apa keputusan anda berhak mendapat keselamatan di sekolah,” katanya.
Pada April tahun lalu, Ain Husniza atau nama sebenarnya Nurain Husniza ,18 mendakwa seorang guru lelaki telah membuat jenaka mengenai rogol semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan sehingga menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.
Susulan itu, gurunya, Khairul Nizam Sanuddin, 44, memfailkan saman dengan menamakan Nurain Husniza dan bapa remaja itu Saiful Nizam masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.
Ain Husniza kemudian memfailkan tuntutan balas pada 4 Mac lalu dengan menamakan Khairul Nizam, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam (SMKPA), Sarimah Mohammed Nor dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Anismah M Noh masing-masing sebagai defendan.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan kerajaan Malaysia yang merupakan defendan keempat dan kelima. – Malaysiapost

