DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa kerajaan mencari penyelesaian segera susulan kenaikan harga bahan-bahan asas pembinaan yang akan meningkatkan harga rumah.
Ketua DPIM Shahir Adnan, berkata peningkatan harga bahan-bahan berkenaan pasti akan menimbulkan kebimbangan tentang kemampuan pemilikan rumah di kalangan rakyat.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih mencabar akibat ramai mengalami tekanan kewangan akibat pandemik Covid-19 serta kos sara hidup lebih tinggi yang menjejaskan pendapatan mereka, manakala harga rumah jauh terpisah dari pendapatan isi rumah.
“Dalam Laporan Indeks Kos Binaan (IKS), Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bar keluli meningkat 20 peratus dengan harga purata bar keluli sebanyak RM3,910 setiap tan metrik berbanding RM3,258 per tan metrik pada Mei 2021.
“Simen mencatatkan peningkatan sebanyak 12.2 peratus pada Mei 2022 dengan RM20.89/50 kilogram (kg) berbanding RM18.61/50 kg pada Mei 2021. Harga rumah akan menerima kesan langsung akibat peningkatan harga ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kenaikan harga komoditi seperti simen, bijih besi, aluminium dan tembaga adalah fenomena global yang tidak boleh dihentikan.
Menurutnya, lonjakan itu juga dijangka akan didorong oleh kenaikan kos pembinaan berpunca dari masalah rantaian bekalan bahan binaan dan tenaga kerja.
“Pelbagai faktor lain seperti premium tanah yang tinggi, permintaan dari pembeli luar negara dan juga pembeli spekulator turut menjadi faktor langsung kepada pasaran harga rumah.
“Berdasarkan kajian dan kenyataan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), jika kos pembinaan terus meningkat dan pemaju tidak boleh menyerap kenaikan ini, kemungkinan besar pengguna yang akan menanggungnya.
“Oleh kerana kos bahan binaan menyumbang 50 hingga 60 peratus dari jumlah nilai pembangunan projek, kenaikan kos pembinaan sebanyak 20 peratus akan menyebabkan kenaikan harga rumah sebanyak 10 peratus,” katanya.
Justeru itu menurutnya, DPIM turut menggesa kerajaan untuk terus meningkatkan bekalan rumah mampu milik yang selesa untuk semua.
Beliau berpendapat, kerajaan sebenarnya boleh memperlahan permintaan bar keluli dan simen, kerana apabila permintaan bar keluli dan simen domestik merosot, harga pasaran domestik dapat dikawal.
“Tanpa bekalan tambahan semasa tempoh tersebut dan aktiviti pembinaan yang perlahan, secara teorinya harga domestik keluli akan jatuh.
“Namun begitu, disebabkan banyak lagi faktor lain seperti premium tanah dan sebagainya, kerajaan juga perlu melihat kepada penyelesaian untuk membina rumah mampu milik di pinggir kota.
“Kita tidak mahu rakyat generasi milenia dan anak muda hari ini hidup tanpa memiliki rumah kediaman,” katanya. – Malaysiapost

