Siti Nurhaliza hampa, pihak lain jual produk guna wajah tanpa izin

0
2

PENYANYI tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin hampa kerana masih ada pihak yang berani menggunakan gambar dan namanya tanpa izin bagi mempromosikan produk perniagaan.

Perkara itu juga mencetuskan kebimbangan buat Siti terhadap orang awam, yang akan terpedaya dengan promosi itu.

Justeru, beliau memberi peringatan kepada pihak terbabit agar tidak sewenang-wenangnya mengambil kesempatan dalam mengaut keuntungan dengan menggunakan gambarnya termasuk suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa kerana tindakan itu tidak membawa keberkatan.

“Bila saya diam, makin rancak menyebarkan perniagaan yang tak melibatkan saya atau suami. Gambar saya dan suami dipaparkan dalam iklan perniagaan serta testimoni juga.

“Saya dah banyak kali hadapi perkara ini, pesan saya, berniagalah cara yang betul. Jangan mengambil kesempatan ke atas orang lain,” katanya menerusi Instagram.

Siti turut menjelaskan bahawa beliau dan suami tidak ada kaitan sama sekali dengan produk jualan itu.

Justeru, beliau meminta orang ramai untuk berwaspada dan peka dalam membeli sesuatu produk.

“Kepada anda yang ada membaca, membeli atau terlihat iklan-iklan sebegini, saya ingin menjelaskan bahawa saya dan suami tidak ada kena mengena dengan produk mereka.

“Produk saya adalah @officialsimplysiti @beausitiofficial @afiya.my serta ada produk shampoo kolaborasi dengan @sugardollbynn.

“Berniagalah untuk mencari keberkatan dan bukan untuk melariskan produk dengan menggunakan iklan palsu. Saya harap kita sebagai pengguna akan lebih peka dengan iklan-iklan seumpama ini,” katanya.

Difahamkan, individu tersebut menggunakan wajah penyanyi berkenaan dan suami tercintanya bagi mempromosi produk rambut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here