KEJAYAAN pasukan bola sepak kebangsaan menamatkan penantian selama 42 tahun layak ke Piala Asia turut memberi makna kepada negeri Johor, kata Menteri Besarnya Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menurutnya, seramai 15 pemain dan bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) FC membarisi skuad Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia kali ini dan beliau mengucapkan tahniah atas kejayaan berkenaan.
“Kejayaan itu turut membawa 1001 makna kepada negeri Johor khususnya.
“Saya sangat bersyukur kerana Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim meletakkan batu asas kepada pembangunan bola sepak negara ini. Menjunjung kasih Tuanku,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, tanpa usaha dan sokongan berterusan daripada baginda untuk merevolusikan bola sepak dari pelbagai aspek, bola sepak Malaysia tidak akan sampai ke tahap ini di mana penantian empat dekad berakhir.
“Tahun ini juga merupakan tahun paling membanggakan buat rakyat negeri Johor apabila JDT berjaya melangkah ke pusingan kedua ke Kejohanan Liga Juara-Juara Asia buat kali pertama.
“Dan kini, majoriti pemain JDT adalah mereka yang membawa skuad kebangsaan layak ke Piala Asia,” katanya.
Onn Hafiz turut mendoakan agar kejayaan kali ini bukanlah satu pengakhiran sebaliknya satu permulaan bagi bola sepak Johor terus memahat nama di persada dunia. – Malaysiapost

