Ramai rakyat Malaysia jadi mangsa ‘job scam’ di Kemboja – Steven Sim

0
2

RAMAI rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja selepas terpedaya dengan tawaran gaji lumayan, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, beliau memaklumkan terdapat seorang lagi rakyat Malaysia menjadi mangsa ‘job scam’ di negara itu.

Katanya, ibu kepada mangsa, dikenali sebagai Khor datang ke pejabat beliau untuk meminta bantuan bagi menyelamatkan anaknya yang didakwa dikurung majikan di Kemboja.

Katanya, pihak majikan mahu mereka membayar USD15,000, jika tidak anaknya akan dijual ke tempat lain.

“Susulan itu, laporan polis telah dibuat dan saya menyerahkan maklumat kepada pejabat Menteri Luar Negeri. Terima kasih kepada pihak menteri yang telah memberikan respon segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Steven Sim, terdapat banyak lagi kes yang sama sedang diurus oleh pihak kedutaan Malaysia di Kemboja.

Justeru, beliau mohon agar kerajaan segera menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa scam di negara itu.

Tambahnya, ini bukan kes pertama, maka kerajaan harus mengambil tindakan drastik menumpaskan sindiket job scam sebelum lebih ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa.

“Jangan sampai mangsa dah dikurung di luar negara, diugut, didera baru kita nak cari jalan keluar. Ini jelas satu aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan manusia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang awam, agar jangan mudah terperdaya dengan janji tawaran kerja bergaji lumayan di luar negara.

“Siasat latar belakang syarikat dan ejen pekerjaan terlebih dahulu.

“Jangan sesekali bersetuju membuat sesuatu pekerjaan di luar negara tanpa visa yang sah. Jika ragu-ragu, rujuk kepada pihak berkuasa,” katanya. – Malaysiapost

Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here