Hina Nabi Muhammad: Majlis Presiden PH mahu PM India jaga keharmonian

0
2
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=538824290945141&set=pb.100044527235621.-2207520000..&type=3

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) mendesak kerajaan India dipimpin Perdana Menteri, Narendra Modi, agar menjaga keharmonian serta kesederhanaan kehidupan beragama di negara itu.

Menurut kenyataan bersama itu, pihaknya juga menyeru agar tindakan kezaliman dan penghinaan terhadap mana-mana penganut agama di India termasuk Kristian, Budha, Muslim serta kasta seperti Dalit dihentikan.

Majlis Presiden PH berkata, seruan itu dibuat selepas meneliti isu beberapa wakil parti Bharatiya Janata Party (BJP) di India minggu lalu, berhubung kenyataan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW, sekali gus mengguris hati serta menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

“Justeru, PH juga akan mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia untuk memberi penegasan terhadap isu ini,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan bersama membabitkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Pada 27 Mei lalu, seorang jurucakap kebangsaan (BJP), Nupur Sharma dan Naveen Kumar Jindal yang bertindak sebagai ketua media BJP Delhi, telah membuat kenyataan kontroversi mengenai Nabi Muhammad SAW.

Hal ini telah membawa kepada kecaman meluas daripada umat Islam di India dan antarabangsa.

Susulan itu, kerajaan India telah bertindak balas dengan menyatakan bahawa kenyataan itu tidak menggambarkan kedudukan kerajaan, dan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang membuat kenyataan itu.

Sharma telah digantung kerja, manakala Jindal pula dibuang kerja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here