BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membidas kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan yang baharu, Adam Adli Abdul Halim berhubung momentum sokongan pengundi muda terhadap parti itu.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun adalah perkara yang dituntut pembangkang kerana menyangka golongan itu akan memberi kelebihan kepada mereka pada pilihan raya kelak.
“Depa yang mahu Undi18. Ingat orang muda akan sokong mereka secara automatik.
“Selepas Undi18 dilaksanakan buat kali pertama di PRN Johor, mereka dapati mereka bukan pilihan utama orang muda pula,” katanya menerusi Facebook.
Najib berkata, hakikatnya golongan muda sedar kelemahan pembangkang dalam mentadbir negara sehingga kedudukan Malaysia berada di belakang negara jiran.
“Sekarang mereka juga yang kata tak boleh harap orang muda pilih cara ‘progresif’. Orang muda pun tahu siapa yang hancing dan siapa yang tak reti mentadbir.
“Progresif apa? Selepas kerajaan PH ambil alih, negara telah berundur ke belakang dan dilepasi negara-negara jiran,” katanya.
Terdahulu, Adam Adli menerusi wawancara sebuah portal berita mengakui pembangkang tidak lagi boleh mengharapkan sokongan pengundi muda akan mengundi parti itu secara progresif dalam PRU15.
“Masalah Undi18, berdasarkan sekurang-kurangnya pilihan raya Johor, (ialah) kita pernah mempunyai kepercayaan seperti ini, (menganggap) semua pengundi muda secara automatik akan mengundi secara progresif,” katanya.
Pada 15 Disember tahun lalu, penurunan umur mengundi kepada 18 tahun dan sistem Pendaftaran Pemilih Automatik mula berkuat kuasa.
PRN Johor awal tahun ini menjadi ujian pertama meninjau aliran pengundian ini yang memperlihatkan Perikatan Nasional (PN) meraih sokongan di kalangan pengundi muda.
Dalam pada masa sama, terdapat hakisan sokongan kepada Pakatan Harapan di kalangan pengundi muda dalam PRN berkenaan. – Malaysiapost

