KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia hari ini mengumumkan pelantikan Senator Datuk Seri Zurainah Musa sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata pelantikan Zurainah adalah bagi menggantikan Zakaria Abdul Hamid yang tamat perkhidmatan pada 22 Mei lalu.
Katanya, pelantikan itu selaras Seksyen 4(1) Akta 244 – Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Pindaan 2013) bagi maksud melaksanakan fungsi-fungsi sepertimana diperuntukkan di bawah Akta tersebut.
Menurutnya, pelantikan itu berkuatkuasa pada 10 Jun 2022 bagi tempoh dua tahun iaitu sehingga 9 Jun 2024.
“Senator Datuk Seri Zurainah, selain Ahli Dewan Negara, merupakan ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Ahli Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN), Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Berhad dan mengetuai Jabatan Hubungan Strategik Berjaya Corporation.
“Selain itu menjadi pengarah kepada sejumlah anak syarikat Berjaya Assets Berhad.
“Beliau juga pengarah dalam Kumpulan UZMA dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Ahli Lembaga Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dan Penasihat Persatuan Ibu Tunggal, Warga Emas dan OKU (PRIMAS),” katanya.
Annuar berkata beliau yakin pelantikan Zurainah yang mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang boleh membawa nafas dan iltizam baharu bagi membantu perkembangan industri perfileman dan kreatif di negara ini.
“Saya juga percaya pemegang taruh industri perfileman dan kreatif juga akan terus memberikan sokongan kepada pelbagai inisiatif dan usaha yang bakal diketengahkan kerajaan melalui FINAS yang bermatlamat memberi manfaat dan kesejahteraan kepada Keluarga Malaysia, bukan sahaja di peringkat tempatan malah antarabangsa,” katanya. – Malaysiapost

