Mohon maaf bukti dia berjiwa besar – Dr Mohd Asri 

0
1

MUFTI Perlis, Datuk Seri Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan pendakwah bebas Ustaz Muhd Zainul Asri Muhd Romli seorang berjiwa besar sekali gus menunjukkan individu yang memiliki peribadi baik.  

Beliau berkata, tindakan Muhd Zainul Asri itu wajar dipuji dan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.  

“Saya baru mendengar video terbaru hari ini oleh Ustaz Muhd Zainul Asri yang memohon maaf dan menarik balik semua pendapat-pendapat beliau yang salah dan tidak berasas sebelum ini.  

“Saya ingin memuji sifat terpuji beliau dalam hal ini. Bukan sesuatu yang mudah untuk berbuat demikian. Ia hanya boleh dilakukan orang berjiwa besar dan mempunyai nilai baik dalam diri,” katanya di Facebook hari ini.  

Dr Mohd Asri menjelaskan, setiap anak Adam tidak terlepas daripada membuat salah dan silap.  

“Apa yang penting, kita tidak berterusan dalam kesalahan dan kesilapan itu. Mengakui salah dan silap di khalayak ramai hanya mampu dilakukan oleh insan yang berjiwa besar dan jujur. 

“Saya kagum dengan apa yang beliau lakukan berkaitan hal tersebut. Semoga Allah memberikan kebaikan dan membimbing beliau dan kita semua ke jalan yang Allah redhai,” katanya.  

Terdahulu, Muhd Zainul Asri memohon maaf dan menarik kenyataan mengenai perpindahan roh manusia yang meninggal dunia ke jasad manusia yang masih hidup dalam ceramahnya baru-baru ini  

Muhd Zainul Asri menerusi satu rakaman video meminta maaf kerana isu berkenaan menimbulkan keresahan umat Islam. 

Sementara itu, Dr Mohd Asri mendoakan urusan ibadat haji Muhd Zainul Asri dipermudahkan Allah.  

“Saya doakan perjalanan haji beliau dirahmati, dimudah Allah, diberi bimbingan, dibuka ilmu yang benar dan dibersihkan jiwa kepada apa yang ALLAH redha. Demikianlah hal yang sama kita semua perlukan.  

“Semoga Allah mengajar kita apa yang kita jahil mengenainya, mengingatinya kita apa yang kita telah dilupakan, mendatangkan kepada kita hikmah serta melapangkan dada kita untuk kebenaran, ilmu yang sahih dan jiwa yang ikhlas. 

“Saya menghulurkan kepada beliau salam penghormatan dan persahabatan,”  katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here