DESAS-DESUS bertiup kencang berhubung kontrak Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bakal ditamatkan.
Kementerian Kewangan (MoF) dipercayai sedang mempertimbangkan untuk menamatkan jawatan Khairuddin sebagai pengerusi kepada anak syarikat milik kementerian itu, lapor Malaysiagazette.
Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PAAB pada 15 Disember 2021 untuk tempoh dua tahun menggantikan Datuk Hasan Arifin.
Pelantikan Khairuddin dalam PAAB dipercayai atas lantikan politik ketika beliau bersama PAS.
Bagaimanapun, beliau mengumumkan untuk keluar dari PAS pada 14 Mac 2022.
Difahamkan MoF telah menghantar surat kepada Khairuddin meminta beliau melepaskan jawatan namun sehingga kini, bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu belum berbuat demikian.
Pada masa sama, MoF dipercayai sudah mempunyai calon untuk menggantikan Khairuddin. – Malaysiapost

