KERAJAAN masih mengkaji sistem percukaian yang paling sesuai untuk dilaksanakan termasuklah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menteri Kewangan itu, berkata GST kini digunapakai oleh hampir 90 peratus negara di seluruh dunia dan sekiranya ia kurang baik tidak mungkin sistem cukai itu menjadi pilihan.
“Kita juga perlu ingat bahawa sebarang sistem percukaian baharu perlu diluluskan di Parlimen.
“Jadi, bila kita ambilkira keperluan untuk libat urus bersama rakyat serta keperluan untuk menambahbaik sistem sedia ada, tidak mungkin sistem percukaian baharu akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya menerusi Facebook.
Tengku Zafrul berkata, beliau terpaksa menjelaskan mengenai perkara itu memandangkan banyak pihak termasuk media yang bertanya mengenainya sejak beberapa hari lalu.
Sebelum ini, media melaporkan, kerajaan belum membuat keputusan mengenai pelaksanaan semula GST sebaliknya ia masih di peringkat kajian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga memberi jaminan kerajaan akan mengkaji aspek pelaksanaan semula GST secara menyeluruh, khususnya sama ada sistem percukaian itu akan melonjakkan harga barang serta tempoh sesuai jika ia akan dilaksanakan.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menasihati semua pihak bertenang dan tidak melatah dalam soal pelaksanaan semula GST dan berjanji mendedahkan perkara itu secara telus apabila tiba masanya.
Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata, kerajaan bercadang untuk menambahbaik pemberian subsidi melalui pendekatan yang lebih bersasar supaya ia dapat dimanfaatkan golongan yang mudah terjejas.
“Pada masa ini lebih 50 peratus daripada subsidi bahan api dinikmati oleh golongan T20.
“Ini bermakna daripada RM30 bilion subsidi bahan api, lebih RM15 bilion dimanfaatkan oleh golongan T20,” katanya. – Malaysiapost

