Lelaki Malaysia terima hadiah lepas ‘tweet’ kasut Jokowi tular di Indonesia

0
1

MOMEN Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yang memakai kasut jenama lokal ketika pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk menjadi perbualan, selepas seorang netizen Malaysia memuat naik satu tangkap layar di Twitter baru-baru ini.

Ciapan akaun Twitter milik @SyedAkramin menjadi tular selepas mendedahkan kasut yang dipakai Jokowi dalam lawatan di Amerika Syarikat (US) itu adalah jenama NAH Project, buatan dari Bandung, Indonesia.

Menurut Syed Akramin, beliau menerima hadiah kasut yang sama seperti dipakai Jokowi, selepas ciapannya tular di Indonesia selain memperkenalkan jenama NAH Project secara tidak langsung.

“Tweet saya berkenaan kasut dipakai Jokowi ketika bertemu Elon Musk telah ‘meletup’ di Indonesia dan sampai ke pengetahuan pembuatnya iaitu NAH Project.

“Mereka berbesar hati hadiahkan model sama kepada saya, Cuma beza warna. Kualiti dan material sangat baik. Boleh lihat di Instagram mereka,” katanya dalam ciapan Twitter.

Sebelum ini, ciapan Syed Akramin tular di negara seberang selepas memuji Jokowi mengenakan kasut jenama lokal yang berharga RM112 ketika pertemuan bersama Elon Musk di US.

“Lelaki ini (Jokowi) benar-benar mahu majukan negaranya. Sehingga hal kecil ini pun dia fikirkan,” katanya.

Semakan di ruangan komen mendapati rata-rata netizen berhasrat untuk memilik kasut jenama NAH Project itu kerana mempunyai reka bentuk terkini dan menarik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here