Institut Endokrin Hospital Putrajaya mula beroperasi

0
2

INSTITUT Endokrin Hospital Putrajaya (IEP) sudah mula beroperasi sejak Selasa lalu dengan kehadiran pesakit dilaporkan semakin bertambah melebihi 150 sehari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata institut endokrin pertama seumpamanya di Malaysia itu mengandungi satu blok bangunan hospital 10 tingkat dengan 220 katil.

Menurutnya, selain itu ia turut mempunyai satu blok tempat letak kereta merangkumi 700 ruang untuk kereta dan 175 untuk motosikal, satu hybrid smart OT (bilik bedah) yang bersebelahan dengan bilik Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

“Tengah hari ini saya sempat meluangkan masa melawat klinik Bangunan Tambahan Blok Baru Hospital Putrajaya yang dikenali sebagai Institut Endokrin Hospital Putrajaya.

“Saya amat teruja dengan keselesaan ruang dan suasana klinik pembedahan endokrin dan payudara yang memberikan manfaat terbaik kepada pesakit-pesakit khususnya dalam perawatan kesihatan endokrinologi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, IEP yang diilhamkan sejak tahun 2006 itu juga mempunyai wad yang menempatkan perubatan endokrin, pembedahan endokrin, neuroendokrin, pediatrik endokrin dan wad rawatan kritikal endokrin.

“IEP turut mempunyai satu dewan endoskopi; satu dewan angiogram; tiga dewan bedah am; sleep lab; hydrotherapy pool; gymnasium; therapy garden; bilik seminar; dan lain-lain lagi.

“Diharapkan perkhidmatan perawatan pesakit di IEP akan berjalan dengan lancar dan memberikan manfaat sepenuhnya kepada rakyat.

“Selamat menjalankan tugas dan amanah kepada semua petugas kesihatan di Institut Endokrin Hospital Putrajaya,” katanya.

Endokrinologi adalah kepakaran yang memfokus kepada diagnosis dan rawatan gangguan yang berkaitan hormon.

Hormon endokrin penting dalam penyelenggaraan metabolisme, pembiakan, persepsi, pergerakan, dan pernafasan, dimana struktur yang merembes hormon-hormon ini dipanggil kelenjar endokrin.

Gangguan endokrin yang paling biasa dihidapi populasi am masa kini adalah diabetes melitus, yang berkaitan dengan gangguan kelenjar pankreas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here