‘Mufti tak perlu diarah ke sana sini kaji perkara halal, haram’ – Ahmad Fadhli

0
1

MUFTI adalah golongan agamawan yang berperanan mengetuai jawatankuasa fatwa negeri masing-masing bagi rujukan umat Islam di negara ini.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata golongan itu tidak perlu diarah untuk pergi ke sesuatu tempat bagi mengkaji perihal perkara sama ada ianya halal atau haram.

“Mufti ialah golongan terhormat dalam agama. Mereka memandu untuk fatwa dikeluarkan oleh jawatankuasa fatwa negeri masing-masing. 

“Mereka tidak perlu diarah untuk ke sana ke sini untuk mengkaji sesuatu perkara itu halal atau haram. 

“Setiap negeri mempunyai jawatankuasanya yang tersendiri, anggotanya ialah orang cerdik pandai dalam hal ehwal agama,” katanya dalam hantaran Facebook.

Biarpun Ahmad Fadhli tidak menyatakan secara terperinci berkenaan kenyataan tersebut, namun ianya dipercayai berhubung kait dengan Festival Bon Odori.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mencadangkan Menteri Agama, Datuk Idris Ahmad untuk hadir ke Festival Bon Odori.

Dalam kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, baginda juga tidak mahu Menteri menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membuat kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat.

Menurut kenyataan itu, baginda menyifatkan kenyataan tidak tepat itu boleh menjejaskan imej dan reputasi JAKIM. 

Terdahulu, Idris dilaporkan menasihati umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai Festival Bon Odori kerana ia mengandungi unsur agama lain.

Katanya, kajian JAKIM mendapati program itu mempunyai unsur keagamaan lain.

Festival Bon Odori akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai ini.

Festival itu yang sudah disambut di Jepun sejak 500 tahun lalu menampilkan persembahan tarian dengan dikaitkan bagi menghormati semangat nenek moyang dalam perayaan Buddha Jepun.

Amalan Buddha-Confucian ini berkembang menjadi musim cuti di mana keluarga berkumpul di tempat kelahiran nenek moyang, melawat dan membersihkan kubur mereka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here