HFMD terus meningkat di Malaysia

0
2

SEHINGGA hari terakhir minggu epidemiologi (ME) 22/2022 pada 4 Jun 2022, sejumlah 82,846 kes penyakit tangan, kaki dan mulut HFMD dilaporkan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 32 kali ganda bagi tempoh yang sama pada tahun 2021 (semasa pandemik Covid-19) iaitu 2,485 kes.

Menurutnya, berbanding dengan 30,489 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2019 (sebelum pandemik Covid-19), ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1.7 kali ganda.

Beliau berkata, kes dilaporkan di seluruh negara bagi ME 22/2022 sahaja adalah 16,954 kes, menurun sebanyak 9.3 peratus berbanding ME 21/2022 iaitu 18,688 kes.

“Sehingga 4 Jun 2022, Selangor menyumbang jumlah kes tertinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu 23,305 kes (28.13 peratus), diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya 9,540 kes (11.52 peratus).

“Perak 8,032 kes (9.70 peratus), Kelantan 5,782 kes (6.98 peratus) dan Johor 5,234 kes (6.32 peratus); sementara negeri-negeri lain pelaporan kes HFMD sekitar atau kurang daripada 4,600 kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah iaitu sebanyak 74,841 kes (90 peratus), diikuti kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun seramai 6,520 kes (8 peratus), manakala selebihnya berusia lebih 12 tahun iaitu seramai 1,485 kes (2 peratus).

Beliau berkata, tiga virus utama yang menyebabkan penularan HFMD dalam komuniti adalah Enterovirus 71 (EV71), Coxsackie A6 (CA6) dan Coxsackie A16 (CA16).

“Sehingga kini, terdapat tiga kes HFMD yang dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU). Kes pertama dan kes kedua dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) dan masih di bawah pemantauan rapi di ICU. Manakala kes ketiga telah pun sihat dan dibenarkan pulang ke rumah pada 31 Mei 2022.

“Sebanyak 1,746 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga negeri tertinggi mencatatkan kejadian wabak ialah Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu 562 wabak (32.2 peratus), diikuti Selangor 208 wabak (11.9 peratus) dan Sarawak 206 wabak (11.8 peratus),” katanya.

Menurutnya, majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tabika, tadika dan pra-sekolah iaitu 1,059 wabak (61 peratus) diikuti oleh rumah persendirian dengan 605 wabak (35 peratus) dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 56 wabak (3 peratus).

“Untuk makluman, cuti menjaga anak diberikan oleh Kerajaan kepada Penjawat Awam iaitu ibu atau bapa atau penjaga kepada anak yang disahkan HFMD dan memerlukan pengasingan.

“Cuti yang diberikan ini adalah diperuntukkan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian S.R.5.4.4 (Kemudahan Cuti Kuarantin) yang telah ditambahbaik dan berkuatkuasa pada 4 Mac 2022.

“Penyakit HFMD merupakan salah satu penyakit daripada tujuh (7) penyakit yang diberikan kemudahan tersebut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here