Afdlin perlu dikenakan tindakan disiplin – Razeef

0
1

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) digesa mengambil tindakan disiplin terhadap bekas calon ketua cabang Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki, kerana disifatkan mencalarkan imej parti dengan membuat laporan polis terhadap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin berpendapat Afdlin sepatutnya belajar disiplin dalam organisasi terutama parti politik.

“Afdlin yang tewas merebut jawatan Ketua Cabang Setiawangsa kepada Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Pemilihan Keadilan 2022 menyaksikan beliau tidak berpuas hati terhadap kekalahan yang dialami dengan pelbagai dakwaan.

“Bagaimanapun, Afdlin telah mencalarkan imej parti dan tindakan beliau melaporkan parti ke polis seharusnya menyebabkan beliau dikenakan tindakan disiplin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Razeef berkata, sepatutnya dalam tempoh setahun sebagai anggota parti Afdlin sudah matang apatah lagi bila beliau cuba untuk menjadi pemimpin dalam PKR.

Beliau turut membidas pelakon, penerbit dan pengarah itu supaya tidak bersikap seperti ‘primadona’, yang mana JPP perlu fokus kepada beliau seorang sahaja.

“Sehingga hari ini JPP masih menjalankan pengiraan untuk undi ragu dan masih dalam persediaan untuk pemilihan peringkat MPP dan Exco AMK serta Wanita,” katanya.

Tambahnya, beliau juga melihat JPP telah memberi penjelasan demi penjelasan terhadap setiap pertuduhan dilontarkan, dan anggota parti diharapkan bersabar.

“Justeru, pada pandangan saya jika Afdlin tidak yakin dengan ketelusan JPP.Adalah lebih ‘jantan’ jika beliau menarik diri sebagai calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Amat lucu bila beliau masih cuba untuk merebut jawatan MPP dan dalam masa sama menuduh seolah JPP menipu.

“Dan saya meminta anggota parti memberi ruang kepada JPP untuk melaksanakan tanggungjawab mereka. Saya yakin JPP akan meneliti setiap aduan yang diterima,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here