Suami isteri maut dirempuh pemandu mabuk

0
2

SUAMI isteri maut selepas motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah Perodua Myvi, yang dipercayai dipandu lelaki mabuk dalam nahas membabitkan sebuah kereta dan tiga motosikal di Jalan Serkam Pantai, Jasin, Melaka awal pagi tadi.

Dalam kejadian 7.45 pagi itu, mangsa yang maut dikenali Ezuddin Mohammad, 50 dan isterinya, Surayah Muhamat, 48, yang menaiki motosikal jenis Yamaha Ego.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka Superintendan Amran @Mohamad Zaki Omar, berkata kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

“Manakala seorang daripada dua lagi penunggang motosikal yang turut dirempuh pemandu kereta berkenaan cedera di bahagian badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amran berkata, siasatan awal mendapati, operator kilang berusia 24 tahun itu dipercayai memandu dibawah pengaruh alkohol dari arah Merlimau ke Melaka sebelum kereta dipandu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Akibatnya, kereta terbabit bertembung dengan motosikal dinaiki suami isteri berkenaan sebelum merempuh dua motosikal lagi dari arah bertentangan menyebabkan dua maut, seorang cedera dan seorang lagi tidak cedera,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera adalah penunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda, Ya’akob Mohamad, 57 yang mengalami cedera ringan di bahagian badan selain turut mengakibatkan motosikalnya terbakar.

“Mangsa rempuhan yang terselamat adalah penunggang motosikal jenis Honda Icon, Norazah Md Diah, 55, yang ketika itu sedang berhenti di bahu jalan untuk membeli sarapan.

“Selain itu, pemandu kereta terbabit cedera ringan di bahagian muka dan kenderaannya turut merempuh sebuah rumah di bahu jalan, namun tidak melibatkan kecederaan pemilik rumah,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat manakala mereka yang cedera dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here