Kenderaan berat antara punca kesesakan di Lembah Klang – JPJ

0
1

SEMUA pengendali atau pemandu syarikat pengangkutan kenderaan barangan dinasihatkan agar mematuhi sepenuhnya Peraturan Larangan Waktu Terhad yang telah diwartakan bagi jalan-jalan tertentu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim, berkata pihaknya mengambil perhatian berhubung isu kesesakan lalu lintas, khasnya di Lembah Klang sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, pemantauan JPJ mendapati terdapat Pergerakan kenderaan barangan yang memasuki laluan waktu Terhad ke Pusar Bandaraya pada waktu Kemuncak iaitu pada pagi dan petang yang turut menyumbang kepada kesesakan dan menjejaskan kelancaran aliran trafik.

“JPJ ingin menegaskan semua pengendali syarikat atau pemandu kenderaan barangan membabitkan kenderaan berat dengan muatan (BDM) melebihi 7,500 kilogram ke atas adalah dilarang menggunakan pada jalan raya utama di bandar-bandar utama yang secara umumnya diwartakan sekatan sekitar sekurang-kurangnya 5 kilometer dari pusat bandar.

“Bermula dari pintu masuk pusat bandar dari jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 malam setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penguatkuasaan bagi kesalahan sekatan waktu larangan akan dikuatkuasakan berdasarkan peraturan dibawah Subseksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Sekiranya ingkar, tindakan kompaun boleh dikenakan dengan tidak melebihi RM300 atau boleh didakwa di mahkamah yang mana denda yang boleh dikenakan tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM2,000,” katanya.

Untuk rekod, lokasi laluan di Lembah Klang yang dikuatkuasakan Peraturan Larangan Waktu Terhad pada waktu pagi dan petang ialah semua jalan Pusat Bandar Kuala Lumpur, Jalan Kuching bermula dari Taman Wahyu di Jalan Ipoh hingga ke pusat bandar, Jalan Genting Klang bermula dari Kolej TAR hingga ke pusat bandar dan Jalan Cheras bermula dari Taman Midah hingga ke pusat bandar.

Selain itu, Jalan Cheras bermula dari Taman Midah ke pusat bandar Kuala Lumpur, Lebuhraya PLUS bermula kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Rawang hala ke Kuala Lumpur dan Plaza Tol Bukit Raja, Klang hala ke Kuala Lumpur, Jalan Tun Razak, Jalan Istana, Jalan Segambut dan Jalan Sentul.

Jalan raya yang diwartakan sekatan hanya pada sebelah petang pula ialah Jalan Kepong, Jalan Ipoh bermula dari Bulatan Kepong hingga Jalan Batu Caves, Lebuhraya Karak, Jalan Gombak bermula dari Jalan Kampung Bandar Dalam hingga sempadan Kuala Lumpur, Jalan Genting Klang dan Jalan Cheras bermula dari Jalan Pudu hingga Jalan Tenteram.

Sekatan turut di Jalan Sungai Besi bermula dari Jalan Kuchai Lama hingga Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban, dan Jalan Kelang Lama dari Lebuhraya Persekutuan hingga Kuchai Lama. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here