Dakwa Muhyiddin nak jadi PM semula, adakah Shafie terdesak? – Wan Saiful

0
2
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan kesal dengan tindakan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta sokongannya untuk menjadi Perdana Menteri semula.

Wan Saiful berkata, beliau mengetahui dakwaan Presiden Warisan itu setelah melihat laporan berita berkaitan perkara tersebut.

Justeru, katanya, Mohd Shafie tidak sepatutnya mengeluarkan dakwaan sedemikian terhadap Presiden Bersatu itu kerana beliau juga mengenali bagaimana sikap Muhyiddin ini.

“Laporan berita ada memetik kata-kata Shafie Apdal berkaitan hal ini.

“Shafie sepatutnya lebih berhemah. Bukan dia tidak kenal sosok tubuh yang bernama Muhyiddin Yassin, individu yang pernah menjelajah bersama ke seluruh negara untuk berjuang mengembalikan integriti kepada negara,” katanya.

Susulan dakwaan itu, Wan Saiful berkata, bekas Perdana itu juga telah menjelaskan beliau tidak pernah memberitahu atau mengesahkan kepada sesiapa bahawa dirinya telah mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk mendapatkan jawatan itu semula.

“Jadi, adakah Shafie begitu terdesak sehingga sanggup mereka-reka cerita yang tidak benar kepada seorang individu yang sepatutnya dianggap sebagai rakan?

“Kenapa begitu terdesak sekali mahu melempar tohmahan dan membunuh karakter Tan Sri Muhyiddin?

“Selepas ini, sesiapa yang bercakap dengan Shafie harus berhati-hati. Jangan sampai ada lagi cerita dongeng yang dijaja,” katanya.

Sebelum itu, media melaporkan Mohd Shafie mendakwa Muhyiddin telah menghubunginya dua bulan lalu untuk mendapatkan sokongannya untuk menjadi Perdana Menteri semula.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, Muhyiddin memaklumkan bahawa beliau mendapat sokongan 119 ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 anggota.

Berikutan itu, Muhyiddin hari ini menafikan tuduhan yang mendakwa dirinya mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri semula.

Sebaliknya, jelas beliau, dalam pertemuan bersama beberapa pimpinan parti politik selain BN itu, perkara yang dibincangkan adalah untuk merintis persefahaman menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here