TIMBALAN Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menegaskan sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi, sesiapa sahaja berhak untuk bertanding dalam pilihan raya, termasuk di kerusi disandangnya di Parlimen Tambun.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata bukan hanya Ketua Pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari yang boleh bertanding tetapi sesiapa sahaja, malah termasuk isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi berkenaan.
“Dia bukan nak lawan saya seorang tapi nak lawan semua orang sebab dia rasakan dialah orang paling hebat dalam dunia.
“Kita di Malaysia ini, mengamalkan demokrasi, bukan sahaja Dr Aziz Bari, isteri dia pun boleh bertanding juga sekali. Jadi semua kita galakkan, kalau nak bertanding, silakan. Tak ada masalah,” katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Malaysia Sports League Daerah Kinta 2022 di X Park Sunway City, Tambun, Ipoh.
Ahmad Faizal mengulas mengenai kenyataan Abdul Aziz yang beberapa kali menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, apa yang penting dalam politik adalah tidak memburukkan orang lain dengan cara yang tidak baik.
“Cuma yang pentingnya kita dalam berpolitik, jangan memburuk-burukkan orang dengan cara yang tak baik. Jangan terlalu taksub hingga menjejaskan perpaduan dan sebagainya” katanya. – Malaysiapost

