Peguam Negara digesa tarik balik khidmat peguam kerajaan wakili guru dalam saman terhadap Ain Husniza

0
2

AHLI Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa Peguam Negara  Tan Sri Idrus Harun  menarik balik Peguam Kanan Persekutuan daripada mewakili guru yang membuat jenaka rogol di dalam kelas dan bekas guru besar dalam saman tuntutan balas yang difailkan pelajar Ain Husniza Saiful Nizam.

Naib Pengerusi DAP itu berkata,  saman yang dibuat adalah saman peribadi antara guru dan bekas pelajar mereka dan adalah tidak wajar bagi peguam kerajaan bertindak untuk pihak persendirian.

“Saya terkejut membaca bahawa Peguam Kanan Persekutuan membela guru lelaki yang membuat jenaka rogol di dalam kelas dan bekas guru besar sekolah selaku defendan dalam tuntutan balas yang difailkan oleh pelajar Ain Husniza.

“Bagaimanakah Peguam Kanan Persekutuan boleh bertindak untuk membela mereka sedangkan guru dan bekas guru besar tersebut telah disaman dalam kapasiti peribadi mereka?

“Lebih-lebih lagi, Ain Husniza yang mula-mula disaman kerana dikatakan memfitnah guru yang membuat jenaka rogol di dalam kelas. Ain terpaksa membela diri dan terpaksa membuat tuntutan balas terhadap guru tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, apa yang dilakukan Ain sebagai seorang kanak-kanak perempuan, adalah secara sah menyatakan rasa tidak senang terhadap guru lelaki dewasanya yang memandang remeh isu jenaka rogol dan membiarkannya begitu sahaja.

“Dia tidak memulakan sebarang tindakan undang-undang, walaupun itu adalah dalam haknya. Tetapi dia dan bapanya telah disaman oleh guru.

“Jelas sekali, ini adalah saman persendirian antara guru dan bekas pelajar mereka. Bagaimana seorang peguam kerajaan boleh bertindak untuk pihak persendirian, penjawat awam dan pesara awam?” soalnya.

Beliau berkata, Peguam Kanan Persekutuan harus mengehadkan perwakilannya untuk entiti kerajaan sahaja.

“Bukankah ini menjadi contoh buruk bagi Peguam Persekutuan untuk bagi penjawat awam dan juga pesara awam dalam saman persendirian mereka?

“Selain itu, adakah wajar seorang Peguam Kerajaan memihak dan membela seorang guru lelaki dewasa yang membuat jenaka rogol kepada pelajar lelaki dan perempuan di dalam kelas?

“Adakah ini tidak sama dengan menyokong salah laku guru lelaki tersebut di sekolah. Ini menghantar mesej yang salah kepada guru dan pendidik,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here