Jasmin Hamid kongsi saat harungi detik cemas terkena serangan jantung

0
3

“SAYA rasa seperti hendak pitam, tangan, muka dan rahang terasa kebas. Manakala kepala dan perut saya juga terasa sakit,” demikian luah pelakon, Jasmin Hamid, 48.

Dia yang kini dirawat di Unit Penjagaan Koronari (CCU) di sebuah hospital, berkongsi pengalaman selepas mengalami serangan jantung, Selasa lalu.

Jasmin yang berkongsi detik cemas itu menerusi aplikasi TikTok berkata, dia tidak menyangka terkena serangan jantung kerana dirinya mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat, sebelum ini.

“Selepas berjumpa Datuk Eizlan Yusof, saya sedang mengemas di dapur. Kemudian saya mula rasa kurang selesa seperti hendak pitam.

“Saya terus masuk ke dalam bilik kerana suami dan anak sudah tidur. Takut apa-apa terjadi saya berseorangan di ruang tamu. Peluh dingin sudah membasahi seluruh tubuh,” katanya.

Jasmin berkata, dia cuba untuk tidur dengan melelapkan mata namun tidak berkata, sebaliknya tubuhnya semakin tidak rasa selesa.

“Saya makan ubat kerana mula rasa sakit-sakit badan kerana sebelum ini saya terkena diarrhea.

“Rupanya saya terlupa, arwah mak saya dulu dia sakit perut. Rupanya itu adalah tanda-tanda sebelum terkena serangan jantung,” katanya.

Dalam pada itu, Jasmin turut mengucapkan terima kasih kepada pihak termasuk peminat yang mendoakan kesihatan dan kesembuhannya.

“Saya berlapang dada dan menganggap ini adalah ujian daripada Allah SWT. Doakan saya cepat sembuh dan boleh keluar hospital secepat mungkin,” katanya.

Perkongsian Jasmin itu mendapat simpati netizen dengan rata-rata mereka mendoakan kesembuhan buat pelakon itu.

Terdahulu, berita Jasmin terkena serangan jantung itu dikongsikan suaminya, Nazmir Abd Rahim, 36, menerusi hantaran yang dimuatnaik di Instagram Jasmin.

Menerusi hantaran berkenaan, Nazmir memohon orang ramai dan peminat pelakon itu sama-sama mendoakan agar kesihatan Jasmin kembali pulih. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here