Nasi lemak percuma dapat sambutan pelajar, ramai yang tawar sumbangan

0
2

SEJAK tular di media sosial mengenai nasi lemak percuma disediakan kepada pelajar yang menghadapi masalah kewangan, Gerai ‘N24 Streetcafe’ di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor, menerima sambutan yang luar biasa daripada pelanggan.

Malah, usaha murni pemilik gerai yang dikenali Siti Aishah itu turut mendapat reaksi positif daripada pelanggan yang berkemampuan untuk turut sama menghulurkan sumbangan.

“Pensyarah staff juga makin ramai yang beli dan tinggalkan baki untuk pelajar. Usaha ni kecil. Tapi menjadi besar kerana wujudnya rakyat Malaysia yang berjiwa besar.

“Kalau sebelum tular saya hanya mampu peruntukkan 10 pek setiap hari untuk sedekah. Lepas tular saya sendiri dah tak berpeluang untuk teruskan sedekah 10 pek tu…sebab ramai rakyat Malaysia pemurah dan minta saya buat sedekah bagi pihak mereka,” kongsinya di Facebook miliknya.

Suasana gerai ‘N24 Streetcafe’ di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mendapat sambutan ramai.

Mengulas lanjut, Siti Aishah berkata, disebabkan kudratnya yang agak terhad, dia hanya mampu menguruskan sumbangan seorang dermawan sahaja sehari.

“Setakat ni setiap hari hanya mampu selesaikan amanah seorang penginfak sahaja. Sebab sendiri masak sendiri pandu ke gerai dan sendiri jual. Kudrat terhad. Terima kasih semua rakyat Malaysia,” katanya.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial perihal Siti Aishah yang simpati nasib golongan pelajar yang tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.

Atas inisiatif sendiri, Siti Aishah telah memaklumkan perkara itu menerusi Facebooknya, menawarkan nasi lemak percuma kepada pelajar yang kesempitan wang sebelum gambar berkenaan tular dengan rata-rata netizen memuji sikap mulianya.

Mengulas mengenai sambutan di gerainya, Siti Aishah berkata, setakat ini tidak ada pelajar yang mengambil kesempatan atau menipu tiada wang untuk membeli makanan.

“Sampai-sampai macam ni la barisan setiap pagi sejak semalam. Alhamdulillah hari ni makin ramai adik adik pelajar datang ambik nasi lemak sumbangan penginfak. Sesetengah tu malu malu datang bisik tanya di sini ke boleh makan nasi percuma.

“Masih belum ada yang ambil kesempatan. Ahamdulillah. Yang mampu tetap hulurkan duit. Moga usaha ni akan menjalar di tempat lain juga.Tiada lagi pelajar yang perlu belajar dalam keadaan perut lapar,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here