Batalkan GST, elak gelombang hiper-inflasi, kenaikan harga barang

0
2

SEORANG pemimpin Parti Amanah mendakwa cubaan kerajaan untuk mengembalikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) atas alasan mengukuhkan kewangan negara, adalah tindakan regresif dan akan menyumbang ke arah inflasi lebih tinggi.

Pengerusi Biro Pengguna Amanah, Faiz Fadzil berkata pelaksanakan GST serentak dengan pemotongan subsidi, akan mewujudkan kesan lebih teruk terhadap kuasa beli rakyat.

Katanya, penarikan balik subsidi kepada penternak ayam berjumlah RM729 juta yang diumumkan sebelum ini bukti kerajaan gagal berusaha untuk menstabilkan harga ayam.

“Barangkali Perdana Menteri lupa antara sebab utama kejatuhan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak adalah pelaksanaan GST dan rasionalisasi subsidi dalam tempoh sama.

“Ismail Sabri jangan lupa inflasi Malaysia pernah melonjak ke paras 4.2% pada Februari 2016 – kurang setahun pelaksanaan GST.

“Kemudian, inflasi melonjak lagi ke paras 5.1% pada Mac 2017, berpunca tindakan kerajaan mansuhkan subsidi bahan bakar,” katanya menerusi kenyataan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon baru-baru memaklumkan kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan GST, sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Katanya, GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, jika dibandingkan tempoh pimpinan Pakatan Harapan (PH), tidak pernah sekalipun inflasi melepasi kadar 2%.

Beliau mendakwa, salah satu faktor utama PH berjaya mengawal tekanan harga adalah dengan menggantikan cukai GST dengan SST.

“Jika kerajaan Ismail Sabri memperkenalkan kembali GST, terutama dalam tempoh setahun akan datang, inflasi akan menjadi lebih teruk kerana faktor gangguan rantaian bekalan dunia terus wujud.

“Ia akan menjadi satu tamparan berganda buat rakyat. Tak perlulah BN terdesak untuk justifikasi GST bagi menambah pendapatan negara sedangkan hasil GST ini adalah dari poket rakyat.

“Cukup-cukuplah mendera rakyat yang semakin sengsara hari ini,” katanya.

Tambahnya, jika GST diperkenalkan kembali beserta rasionalisasi subsidi pada masa sama, rakyat akan mengalami gelombang hiper-inflasi yang besar.

“Inflasi makanan telah mencecah 4.1% setakat April 2022, dan ia boleh menjadi lebih teruk dengan kenaikan harga barang mendadak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here