BEKAS personaliti TV, Senator Datuk Ras Adiba Radzi mengesahkan kembali bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohamed Azam Ali buat kali kedua, semalam.
Menyifatkan jodoh masih kuat, Ras Adiba, 54, bersyukur majlis pernikahan yang diadakan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Kuala Lumpur berjalan lancar.
“Ya benar, saya berkahwin semula dengan orang sama. Kami pernah bercerai dan berkahwin semula. Alhamdulillah, jodoh antara saya dan suami sangat kuat. Kami bercerai pun tak beritahu orang.
“Syukur Alhamdulillah… majlis pernikahan kami di JAWI, 12 tengah hari semalam juga lancar. Kami kenal sejak tahun 1986 ketika masih bertugas di TV3,” katanya memetik mStar, hari ini.
Terdahulu, beberapa foto Ras Adiba dan suami yang disertakan ucapan tahniah dipercayai di majlis pernikahan mereka tersebar di media sosial.
Ras Adiba sebelum ini memilih untuk merahsiakan mengenai perceraian mereka kerana menganggap ia perkara peribadi yang tidak perlu dikongsi kepada umum. – Malaysiapost

