AHLI Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mempertikaikan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana merumitkan proses untuk menderma dan memberi sumbangan kepada sekolah.
Beliau berkata, apabila terdapat pihak termasuk wakil rakyat yang ingin berbuat demikian, mereka terpaksa memohon dengan menulis surat kebenaran kepada KPM terlebih dahulu.
Katanya, sedangkan pihak sekolah yang memohon sumbangan berkenaan daripada orang ramai kerana dana serta bantuan diberi kerajaan tidak mencukupi.
“Jadi, jika perlu membuat surat bagi meminta izin, ia seolah-olah kerajaan tidak yakin pengurusan sekolah.
“Sekarang kalau nak menderma pun kena tulis surat minta kebenaran Jabatan/Kementerian dulu. Sekolah tak cukup dana. Kerajaan tak mampu nak bantu. (Jadi) sekolah pun pohonlah sumbangan wakil rakyat dan orang ramai.
“Wakil rakyat dan orang ramai setuju nak sumbang. Kerajaan pula tak bagi – pihak yang nak menderma kena tulis surat terlebih dahulu kepada kerajaan, minta izin kerajaan dulu sama ada kita boleh beri sumbangan kepada sekolah atau tidak,” katanya menerusi Facebook.
Belaiu berkata, keadaan itu tidak sewajarnya berlaku seolah-olah mengambarkan bahawa guru besar dan pengetua sekolah tidak mampu berfikir tentang kebajikan sekolah masing-masing.
“(Adakah) kerajaan tak yakin kepada pengurusan sekolah untuk kenalpasti keperluan sekolah masing-masing?,” katanya.
Sehubungan itu, Steven Sim menggesa pihak bertanggungjawab khususnya kerajaan untuk memudahkan urusan tersebut.
“Apa yang terjadi di Malaysia? Sampai orang yang nak menderma pun kena tulis surat kepada kerajaan minta izin untuk menderma?.
“Menteri Pendidikan sebelum ni dah gagal dalam pelaksanaan PDPR, gagal bab memberi laptop yang dijanjikan kepada pelajar, gagal nak laksanakan SPM dan peperiksaan awam lain dengan baik sewaktu pandemik, gagal nak berikan data keciciran pelajar walaupun dipohon di Parlimen, gagal dalam isu interview guru COS,” katanya.
Beliau juga membidas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin supaya tidak terlalu mengawal segala berkaitan hal sekolah, sedangkan tugas hakiki gagal dijalankan sebaiknya.
“Seruan saya kepada Menteri, isu pendidikan jangan nak jadi hero politik. Hujung-hujung anak-anak kita yang jadi mangsa,” katanya. – Malaysiapost

