
DAP menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri tidak konsisten dalam pendiriannya berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, Ismail Sabri dalam satu wawancara dengan media Jepun, Nikkei, menyatakan pilihan raya tidak akan diadakan dalam masa terdekat kerana masalah inflasi dan isu kos sara hidup rakyat perlu ditangani.
Namun, katanya, dalam masa 48 jam sahaja, Perdana Menteri menukar nada semasa berucap di Konvensyen Barisan Nasional (BN) semalam dengan mengatakan beliau tidak akan menunggu satu saat lebih untuk membubarkan Parlimen sekiranya BN sudah bersedia.
“Kenyataan dan mesej yang flip-flop hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik yang berlanjutan dan akan memudaratkan lagi keadaan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Ismail Sabri perlu lebih tegas dan konsisten dalam pendiriannya sebagai seorang Perdana Menteri dan bertanggungjawab dalam sebarang kenyataannya.
Anthony berkata, DAP tidak pernah bimbang untuk menghadapi pilihan raya sekiranya Parlimen dibubarkan malah parti itu bersama rakan-rakan Pakatan Harapan (PH) bersedia untuk masuk gelanggang dan berkempen.
Namun, katanya, keputusan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen adalah budi bicara Perdana Menteri dan keputusan yang begitu penting itu tidak seharusnya dipengaruhi oleh pihak yang tidak berkaitan yang hanya mementingkan survival politik mereka.
”Perdana Menteri perlu memberi mesej politik yang lebih jelas kepada rakyat dan dunia luar. Sekiranya beliau benar-benar ingin menangani isu inflasi daripada memanggil pilihan raya dalam tempoh terdekat.
“… maka beliau sebagai Perdana Menteri perlu mencari konsensus merentasi parti supaya seluruh fokus nasional menjurus kepada agenda membantu rakyat,” katanya.
Dalam temubual eksklusif bersama akhbar Nikkei, Perdana Menteri berpendapat sekarang bukan masa sesuai untuk PRU15 ketika negara berdepan pelbagai isu seperti kenaikan kos sara hidup dan kadar inflasi yang tinggi.
Perdana Menteri berkata, kenaikan harga makanan dan kos sara hidup antara sebab beliau memerlukan masa di sebalik spekulasi kuat PRU15 dijangka diadakan sebelum akhir tahun ini. – Malaysiapost
