PRESIDEN Amanah, Mohamad Sabu, mengingatkan ahli parti itu termasuk Pakatan Harapan (PH) supaya tidak mempedulikan percakaran di antara Umno, PAS dan Bersatu.
Ahli Parlimen Kota Raja itu, berkata sebagai parti yang berada di dalam kerajaan hari ini, ketiga-tiga parti itu hakikatnya akan saling bantu-membantu antara satu sama lain untuk kekal berkuasa.
“Jangan pedulikan percakaran di antara Umno, PAS dan Bersatu. Mereka semua berada dalam kerajaan. Sifat mereka saling membantu di antara satu sama lain untuk mengekalkan kerajaan tebuk atap.
“Oleh itu saya menyeru kepada seluruh ahli-ahli Amanah, rakan rakan pendokong Pakatan Harapan dan pembangkang terus berusaha untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang untuk mengembalikan maruah negara,” katanya menerusi Facebook.
Sebaliknya, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Amanah dan PH perlu memastikan negara tidak lagi tergadai kepada golongan kleptokrat dan sekutu mereka yang tidak menghormati demokrasi berparlimen.
“Jangan lagi negara ini tergadai kepada golongan kleptokrat dan sekutu mereka yang tidak menghormati demokrasi berparlimen dalam mengambil alih kuasa.
“Pedulikan soal Umno dan sekutunya yang kononnya bercakaran, tetapi sebenarnya mereka sentiasa membantu di antara satu sama lain,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, menyatakan pihaknya tidak akan mudah terpedaya dengan kenyataan berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan diadakan dalam masa terdekat atas alasan masalah inflasi yang berlaku ketika ini.
Justeru, DAP mengadakan persiapan awal untuk pilihan raya dengan mengadakan Bengkel Latihan Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Kiraan Undi (PACA) di Pusat Khidmat DAP Bagan. – Malaysiapost

