Tiga beranak antara 4 ditahan mengedar dadah

0
2

PASANGAN suami isteri warga emas bersama anak lelaki dan seorang rakan anaknya ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak empat bulan lalu di sekitar Johor Bahru.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata keempat-empat suspek ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar bandar raya itu bermula jam 3.30 petang kelmarin hingga semalam.

Menurutnya, serbuan turut membabitkan sebuah unit pangsapuri dan sebuah rumah yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan pelbagai jenis dadah.

“Kita menahan tiga suspek yang merupakan ahli keluarga iaitu lelaki berusia 73 tahun, isterinya berusia 70 tahun dan anak lelakinya berusia 36 tahun.

“Selain itu, seorang lagi suspek yang merupakan rakan kepada anak pasangan itu yang juga berusia 36 tahun turut ditahan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Beliau berkata, polis menemui dan merampas pelbagai jenis dadah membabitkan 14.31 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 4.06kg ketamin, 3.76kg ekstasi dan 1.65kg (6,440 biji) pil Eramin 5 yang dianggarkan bernilai RM1.25 juta

“Hasil ujian air kencing dilakukan turut mendapati dua suspek disahkan positif dadah jenis methamphetamine selain seorang suspek turut memiliki rekod jenayah lampau bersabit kes dadah,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati modus operandi kegiatan berkenaan adalah dengan menjadikan kediaman mereka sebagai stor penyimpanan dadah untuk memenuhi pasaran tempatan.

“Kalau lihat daripada cara mereka membungkus dadah ini, kita percaya rumah-rumah ini hanya digunakan sebagai stor. Bagaimanapun kita akan siasat sama ada suspek turut terlibat dengan kegiatan memproses dadah.

“Kita percaya dadah-dadah ini adalah untuk menampung pasaran di kelab-kelab malam sekitar bandar raya Johor Bahru dengan jumlah pengguna kira-kira 200,000 orang,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 1 Jun bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here