SEBANYAK 25 kertas siasatan dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan perolehan perkhidmatan perubatan membabitkan pengurusan Covid-19.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, bagaimanapun tidak menamakan mana-mana agensi yang disiasat, namun mengesahkan ia adalah berkaitan dengan pengurusan Covid-19 sepanjang pandemik berkenaan melanda negara.
“Setakat yang kita terima laporan dari pelbagai pihak, kita buka 25 kertas siasatan. Saya tidak mahu namakan mana-mana agensi tapi ia berkaitan pengurusan Covid-19 semasa tempoh Covid-19 berlaku.
“Pelbagai isu kita siasat. Kita jaga sensitivity banyak pihak jadi saya cuma kata berkaitan pengurusan Covid-19. Setiap 25 kes berbeza, bukan sama,” katanya pada sesi bersama media di Putrajaya, hari ini.
Azam juga tidak menolak kemungkinan siasatan SPRM akan membabitkan aspek kekeliruan data dalam pengurusan Covid-19 sewaktu keadaan pandemik melanda seperti didakwa bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
“Itu mungkin satu daripadanya. Saya tak kata hanya KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia)…ada banyak lagi,” katanya.
Ditanya sama ada Dr Adham yang kini menjawat jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, akan dipanggil untuk membantu siasatan, beliau memaklumkan ia bergantung kepada siasatan yang dijalankan.
“Ia bergantung kepada keperluan, sebab itu saya katakan tadi ada 25 kertas siasatan dalam pelbagai isu, jadi tidak semestinya Menteri Kesihatan sahaja yang akan dipanggil, ia akan tengok siapa-siapa yang terlibat kita akan panggil,” katanya.
Dr Adham baru-baru ini menyatakan bersedia memberikan kerjasama kepada SPRM berikutan dakwaan berlaku isu rasuah dan penyelewengan berhubung perolehan berkaitan Covid-19.
Beliau yang memegang portfolio itu semasa negara sedang berhadapan dengan wabak itu mula melanda negara mengakui, pernah menerima sendiri aduan mengenai perkara itu sekali gus menjelaskan perkara itu berlaku di peringkat pentadbiran.
Menurutnya, sewaktu keadaan pandemik banyak proses pemerolehan tidak melalui prosedur biasa dan terdapat kekeliruan dalam melaksanakan perkara itu.
Sementara itu, Azam turut memberitahu antara 25 kertas siasatan yang dibuka SPRM salah satunya adalah membabitkan pembekalan pelitup muka.
Namun Azam enggan mendedahkan nilai keseluruhan penyelewengan yang didakwa berlaku membabitkan perolehan perkhidmatan semasa pengurusan pandemik Covid-19 itu.
“Itu saya tidak boleh dedahkan takut silap tapi ia semuanya melibatkan pengurusan kes Covid-19,” katanya.
Terdahulu Azam dalam ucaptamanya di Forum Anti Rasuah Malaysia di Putrajaya pada 24 Mei lalu, mendedahkan SPRM sedang melakukan siasatan terhadap perolehan berkaitan Covid-19 yang didakwa mempunyai unsur rasuah dan penyelewengan.
Menurutnya, terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam keadaan negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.
Beliau berkata, siasatan yang sedang dilakukan adalah termasuk aktiviti rasuah dalam perolehan perkhidmatan perubatan, penyalahgunaan kuasa mengalihkan bantuan dan pakej rangsangan, penipuan berkaitan peralatan perubatan dan sebagainya. – Malaysiapost

