Pengurus Insurans rugi RM688,500 terperdaya pelaburan matawang digital

0
3

SEORANG pengurus insurans kerugian RM688,500 akibat terperdaya dalam pelaburan matawang digital yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh masa yang singkat melalui aplikasi ‘Coinbase’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor Asisten Komisioner Amran Md Jusin, berkata pihaknya menerima aduan daripada mangsa berusia 38 tahun terbabit yang mendakwa ditipu seorang individu tidak dikenali setelah berkomunikasi melalui aplikasi Instagram dan WhatsApp pada pertengahan Mei lalu.

Menurutnya, terperdaya dengan tawaran keuntungan lumayan yang dijanjikan, mangsa mengikut arahan suspek untuk memasukkan wang ke 10 akaun berbeza antara tempoh 20 Mei hingga 31 Mei lalu.

“Mangsa memasukkan wang berjumlah RM688,500.30 ke 10 akaun bank berbeza melalui 19 transaksi sebelum menyedari telah ditipu selepas tidak menerima keuntungan sebagaimana dijanjikan dan suspek juga gagal dihubungi.

“Polis kini sedang menjalankan siasatan ke atas penipuan melalui ‘Coinbase’ sebagaimana dilaporkan mangsa dan juga akaun-akaun bank yang digunakan dalam penipuan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal pihak polis mendapati enam daripada 10 akaun yang digunakan suspek mempunyak rekod pernah digunakan dalam lain-lain kes jenayah Komersil yang dilaporkan di Johor dan lain-lain negeri.

“Polis menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang tawaran yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

“Orang ramai diminta sentiasa menggunakan perkhidmatan atas talian yang disediakan oleh JSJK iaitu Semak Mule, CCID Scam Response Center, CCID Infoline dab juga Facebook JSJK Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan sebarang maklumat berkenaan jenayah komersil,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here