Annuar akui tak berdiri ketika Zahid gesa PRU segera

0
1

TAN Sri Annuar Musa mengakui beliau tidak berdiri bersama perserta Konvensyen Barisan Nasional (BN) semalam, sebagai tanda sokongan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segara dalam tahun ini.

Ia selepas Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melontarkan pertanyaan siapa yang mahukan PRU15 diadakan dalam masa terdekat iaitu tahun ini.

Mengulas mengenainya, Annuar berkata apabila disuruh berdiri oleh Ahmad Zahid, beliau perhatikan ramai terpinga pinga, selain ada juga yang spontan berdiri.

“Ada yang tunggu nak tengok kawan berdiri atau tidak. Ada yang berdiri tapi memberitahu pendirian berbeza. Biasalah dalam situasi yang begitu.

“Saya setuju PRU disegerakan sebaik saja BN benar-benar sudah siap siaga. Tapi saya tidak pun berdiri.

“Saya tidak perlu berdiri hanya kerana orang lain berdiri, atau kerana segan, tak tergamak, kerana disuruh berdiri dan sebagainya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ketika berucap pada Konvensyen BN sempena Ulang Tahun ke-48 BN di WTC semalam, Ahmad Zahid menggesa peserta berdiri sebagai menyokong agar PRU diadakan segera.

Gesaan itu dilontar di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut hadir.

“Siapa mahu PRU tahun ini? Siapa mahu PRU dalam masa terdekat… bangun,” kata Ahmad Zahid disambut dengan sorakan oleh peserta Konvensyen BN.

Mengulas lanjut, Annuar berkata pengalaman beliau telah banyak menyaksikan yang didakwa yakin menang, akhirnya kalah, manakala yang dikatakan “ready” sebenarnya belum “ready”.

Selain itu, beliau juga melihat individu yang kononnya ada dana, kehabisan dana selepas beberapa hari kempen bermula dan yang dikatakan ramai “putih” akhirnya “hitam”.

“Saya berpegang pada prinsip tarikh PRU adalah senjata parti yang memerintah iaitu BN. Ia perlu dibincang tertutup. Sementara itu kita perlu jujur. Kalau sudah sedia kata sedia.

“Tapi kalau kerja pun belum buat, dana belum tersedia, data belum terurus, jentera belum terlatih, tapi kita mendakwa kita sudah “ready”, itu menolak ikhtiar namanya.

“Saya percaya Perdana Menteri akan beri semula mandat kepada rakyat bukan dalam tergopoh-gapah, atau di saat suasana berterabur, sebaliknya ketika rakyat bersedia dan yakin untuk beri mandat semula kepada yang sedang berkuasa iaitu BN,” katanya.

Katanya lagi, BN perlu berhati-hati agar tidak silap perhitungan kerana analisa “readiness” tidak boleh dibuat secara retorik.

“Ia bukan boleh ditanya segenap “tepi jalan” tapi dengan penuh cermat. Semak kesiapsiagaan di kubu BN terlebih dulu, kemudian semak kawasan nak ditawan semula.

“Hati-hati bila yang menyatakan sedia tapi sebenarnya datang dari kawasan yang langsung tiada harapan untuk BN,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here