PENGERUSI DAP Lim Guan Eng, menyatakan pihaknya tidak akan mudah terpedaya dengan kenyataan berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak akan diadakan dalam masa terdekat atas alasan masalah inflasi yang berlaku ketika ini.
Menurutnya, justeru itu DAP mengadakan persiapan awal untuk pilihan raya dengan mengadakan Bengkel Latihan Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Kiraan Undi (PACA) di Pusat Khidmat DAP Bagan.
“Sungguhpun Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) menyatakan bahawa PRU-15 tidak akan diadakan pada masa terdekat kerana kena uruskan masalah inflasi dan kos sara hidup, kita jangan mudah terpedaya dan kena buat persiapan.
“Bengkel PACA di Pusat Khidmat DAP Bagan yang diadakan sebagai persediaan awal untuk menghadapi PRU (Pilihan Raya Umum) yang akan datang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan, berkata PACA yang kompeten dan berpengetahuan mengenai undang-undang dan proses pilihan raya dapat membantu pelaksanaan sistem pilihan raya yang adil dan bersih.
“Terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mary Josephine dari Negeri Sembilan dan Medaline dari Kuala Lumpur yg sudi datang untuk memberi latihan PACA kepada wakil-wakil pusat khidmat Adun/Ahli Parlimen di kawasan Seberang Perai, Pulau Pinang,” katanya.
Ismail Sabri sebelum ini dilaporkan menolak kemungkinan untuk mengadakan pilihan raya lebih awal, dan menganggap ia tidak sesuai memandangkan kenaikan harga barang makanan dan kos sara hidup yang berkaitan.
Menerusi wawancara khas bersama Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini, Ahli Parlimen Bera itu dilaporkan sebagai berkata, beliau masih menunggu waktu yang sesuai untuk membubarkan Parlimen.
Katanya, kenaikan harga barang makanan serta kos sara hidup itu, dilihat berpunca dari ketegangan yang berlaku di peringkat global akibat peperangan antara Rusia dan Ukraine. – Malaysiapost

