LEGENDA bola sepak negara, Syed Ahmad Abu Bakar, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kangar, tengah hari tadi.
Berita duka itu dimaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Facebook rasminya sebentar tadi.
“Salam Tahziah. Legenda bola sepak negara, Syed Ahmad Abu Bakar, menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun di Hospital Kangar, tengah hari tadi selepas bertarung lebih dua tahun dengan barah prostat.
“Allahyarham meninggalkan seorang balu, Samihah Razali dan lima anak, Syed Ahmad Shahazuddin, Syed Zaimuddin, Wan Noor Atikah, Syed Abu Bakar dan bekas atlet lompat tinggi negara, Syed Zamilluddin.
“Semoga Allah SWT merahmati rohnya, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan para solehin,” menurut hantaran itu.
Dilahirkan di Pontian, Johor, pada 20 April 1946, Syed Ahmad dikenang sebagai wira yang membawa pasukan negara ke Sukan Olimpik Munich 1972 tetapi tidak tersenarai ke temasya berkenaan.
Menjaringkan lima gol ketika membantu anak buah Dave McLaren dan Jalil Che Din menewaskan Korea Selatan, Jepun, Filipina dan Taiwan pada kelayakan di Seoul pada 1971, Syed Ahmad malangnya digugurkan daripada skuad ke Munich.
Kali pertama mewakili Johor dalam pertandingan Combined School di peringkat sekolah rendah dan seterusnya ke peringkat Piala Burnley pada 1961, Syed Ahmad menyarung jersi negara dari 1966 hingga 1974, membantu skuad kebangsaan menjulang gelaran Pestabola Merdeka 1966, 1968 dan 1974.
Sekalipun memulakan kerjaya bersama negeri kelahirannya, Allahyarham mencipta nama dan meninggalkan legasi bersama tiga pasukan Utara, Pulau Pinang (1965-1972), Perak (1972-1980) dan Kedah (1980-1981).
Disebabkan bakatnya yang dikenal pasti dari kampungnya Nyior Gading, Syed Ahmad ditawarkan bekerja di Jabatan Penjara pada usia remaja.
Kejayaan pra-kelayakan Olimpik 1971 membawa seribu kenangan buat Syed Ahmad. Tandukan Syed Ahmad pada minit ke-54 hasil hantaran tepat Looi Loon Teik mengaibkan Korea Selatan, dua hari selepas meledak hatrik membenam pemenang pingat gangsa Olimpik 1968, Jepun 3-0.
Di Sukan Asia Tehran 1974, gabungan Syed Ahmad, Mokhtar Dahari dan Isa Bakar membentuk jentera penggempur Malaysia berbisa dengan mengumpul 20 gol sehingga mengutip gangsa menewaskan Korea Utara 2-1.
Tersepit antara dua era, zaman Abdul Ghani Minhat selaku Raja Bola lewat 50-an hingga 60-an dan pada waktu Mokhtar Dahari bergelar Supermokh pada 70-an.
Syed Ahmad berbangga dengan catatan gol dalam final Piala Malaysia pada 1968 dan 1969 bersama Pulau Pinang dan Perak pada 1974 tanpa mengecap kejayaan menjulang piala itu.
Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama ahli jawatankuasa eksekutif FAM, menyantuni Syed Ahmad di kediamannya di Perlis pada Februari lalu.- Malaysiapost

