Polis siasat sama ada mangsa bunuh dan bakar mengandung

0
2

SIASATAN sedang dijalankan bagi mengenalpasti identiti seorang wanita yang dipercayai dibunuh dan dibakar sebelum mayatnya ditemui di tepi Sungai Kuala Kangsar, Kampung Talang Hulu, Kuala Kangsar, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata polis juga menyiasat berhubung dakwaan di media sosial mengatakan wanita terbabit dipercayai remaja juga hamil.

Menurutnya, Polis Daerah Kuala Kangsar menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan satu mayat tanpa identiti dalam keadaan terbakar di tepi Sungai Kuala Kangsar jam 3.05 petang semalam.

“Pihak polis yang ke lokasi kejadian mengesahkan penemuan itu dan Unit Forensik serta Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) turut tiba dilokasi untuk membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan awal yang dilakukan, mangsa dipercayai mati dibunuh dan dibakar di tempat sama mayat ditemui.

“Daripada penelitian awal berdasarkan fizikal, mangsa dipercayai seorang wanita berbangsa India,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, walaubagaimanapun identiti sebenar mangsa masih belum dikenal pasti dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian.

Menurutnya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Subkley Alias di talian 013-9285436.

Sementara itu, menurutnya pemeriksaan rekod pergigian dan analisa cap jari mangsa sudah dilakukan bagi mengenalpasti identiti mangsa.

Beliau berkata, pakar forensik dijangka akan melakukan bedah siasat esok dan hasil bedah siasat termasuk sama ada mangsa mengandung akan dimaklumkan kelak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here