PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak wajar ditangguhkan ketika Barisan Nasional (BN) memiliki momentum kemenangan, selain kesemua parti pembangkang sedang mengalami masalah dalaman ketika ini.
Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak memberi isyarat gabungan itu bakal berdepan risiko jika PRU15 ditangguhkan bagi tempoh lebih lama.
Bekas Perdana Menteri itu turut berkongsi pengalamannya yang tersilap percaturan dalam menentukan tarikh PRU14 lalu menyebabkan BN tumbang.
“Bilakah pilihan raya? Saya tak pasti. Tetapi saya nak kongsikan perkara ini untuk pertama kali, saya nak mengaku kita (sepatutnya) buat PRU14 selepas Sukan SEA (2017).
“Jika kita adakan PRU selepas itu, barangkali BN menang besar tetapi desakan pihak tertentu kita tangguh, bila tangguh keadaan berubah,” katanya ketika berucap pada Konvensyen BN Sempena Ulang Tahun BN Ke-48 di WTC, hari ini.
Mengulas lanjut, Najib berkata, ketika ini semua parti musuh BN dalam keadaan carca marba dan semakin terdesak berbanding BN.
“Hari ini lawan dalam keadaan carca marba, PKR 12 peratus saja mengundi (Pemilihan PKR), Pejuang dah terpencil, Bersatu pun tinggal dua kerusi saja di Johor, PAS pun dah menurun, DAP dah ditolak, maknanya lawan dalam keadaan terdesak sekarang.
“BN Insya-Allah semakin kukuh, walaupun kita ada masalah tetapi kita lebih kukuh lebih bersatu,” katanya. – Malaysiapost

