DATUK Seri Mohamad Hasan menegaskan, ada tiga sebab mengapa Barisan Nasional (BN) mesti mengambi laih tampuk pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Pertama.., kita mahu memulihkan kembali negara. Pada saat kita berhimpun ini, rakyat di luar sana sedang sangat terbeban. Harga barang melambung naik sehingga di luar kemampuan rakyat.
“Malah, bekalan makanan asas berisiko terputus atau tidak mencukupi. Sumber protein kita telah menjadi sangat mahal. Segalanya, dari makanan kepada kos kehidupan lain, telah menjadi sangat luar biasa dari kemampuan purata rakyat Malaysia.
“Kepercayaan kepada institusi awam terjejas. Iklim pelaburan terus pudar dan perlahan. Segalanya lebih baik dahulu daripada sekarang.
“Kerana itu kita mesti memulihkan Malaysia. Ia harus menjadi misi paling utama BN,” kata Timbalan Pengerusi BN itu dalan ucapan perasmian Konvensyen BN sempena ulang tahun ke-48, di WTC, hari ini.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno itu berkata, banyak kerosakan telah dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi kerajaan 22 bulan.
“Lihat sahaja apa yang berlaku kepada negara ini, apabila BN ditewaskan pada 2018. PH has failed to govern and they failed miserably.
“Dari semua segi, kita merosot, menyusut dan berundur ke belakang. Dan bila kita menerajui semula kerajaan waktu ini, tangan kita pula terhad dan terikat.
“Ini kerana, kita tidak mempunyai kuasa yang dominan. Kita terpaksa akur, dengan pelbagai kekangan dan persefahaman politik, dengan pelbagai sekutu dan seteru kita. Jika kita mahu bertindak sedikit agresif atau lain dari selera mereka, kita diancam dan diugut,” katanya.
Mohamad menjelaskan, BN perlu kembali berkuasa kerana untuk memastikan politik lebih stabil sekali gus tidak mahu melihat negara terus mundur 20 tahun ke belakang.
“Kedua… BN mesti mengambil alih semula pentadbiran negara, kerana kita mahu mengembalikan semula kestabilan politik di Malaysia. Ketidakstabilan politik dalam tiga tahun, menjerumuskan Malaysia ke era 20 tahun ke belakang.
“Bayangkan, jika ini berterusan. Malaysia akan menjadi negara yang terus ketinggalan dan tercorot. Kita mesti pasakkan dalam sanubari setiap rakyat untuk tidak terus bereksperimen dengan politik negara.
“Mereka mesti membuat keputusan dengan rasional dan objektif. Bukan emosional dan terbawabawa dengan sentimen,” katanya.
Selain itu, Mohamad menegaskan, BN mesti kembali memimpin negara bagi mencipta semula masa hadapan negara terutamanya untuk generasi akan datang.
“Ketiga…, BN mesti mengambil alih semula Malaysia, kerana kita mahu mencipta masa depan untuk generasi akan datang. Mentadbir negara, bukan setakat menguruskannya, untuk kemandirian hari ini. Tetapi, ia juga tentang membina asas asas kelangsungan hari esok.
“Kita bukan hanya mewarisi Malaysia ini dari generasi lepas, tetapi turut meminjamnya dari generasi akan datang.
“Maka kita mesti menyingkirkan segala noda dan kesalahan generasi sedia ada. Dan menyediakan landasan lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya. – Malaysiapost

