Polis keluar 17 saman di jalan ‘New Zealand Malaysia’

0
2

SEBANYAK 17 saman dikeluarkan dalam Operasi Halangan di laluan Jalan Temiang-Pantai, Seremban, yang menjadi lokasi tumpuan orang ramai untuk bergambar.

Operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis (IPD) Seremban, semalam bagi mengelak segelintir pengguna jalan raya berhenti di lorong kecemasan di sepanjang laluan itu yang boleh mengundang bahaya.

IPD Seremban dalam kenyataan berkata, pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaan di bahu jalan atau lorong kecemasan boleh diambil tindakan di bawah Kaedah 50 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu ‘Larangan Terhadap Halangan’ dan Kaedah 53 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu ‘Lorong Kecemasan’.

Katanya, mana-mana individu atau kenderaan tidak dibenarkan berhenti di bahu jalan atau lorong kecemasan yang boleh menghalang lalu lintas.

“Pesalah juga boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana melakukan mudarat awam,” menurut kenyataan itu di hantaran Facebook.

Dalam masa sama, mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan, dalam sabitan kedua boleh didenda melebihi empat ribu ringgit atau dipenjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here