KONVENSYEN Barisan Nasional (BN) sempena sambutan ulang tahun BN ke-48 hari ini bakal menyaksikan solidariti dan kesepakatan kukuh gabungan itu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Lautan biru kibaran panji-panji BN akan mengiringi para pemimpinnya berkumpul esok (hari ini) di Konvensyen BN bersempena Sambutan Ulang Tahun BN ke-48 di Dewan Merdeka, WTC, Kuala Lumpur.
“Pentas kali ini bakal menjadi saksi solidariti dan kukuhnya kesepakatan sebuah gabungan parti yang terbukti memperjuangkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan iltizamnya membangunkan negara.
“Saya juga ingin mengucapkan Selamat Ulang Tahun BN ke-48 dan merakamkan penghargaan terhadap sokongan akar umbi serta pucuk kepimpinan BN,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebooknya.
Konvensyen itu akan dirasmikan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi petang ini. – Malaysiapost

